PETALING JAYA: Selepas ‘jodoh’ bersama Police Tero berakhir, bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mendedahkan sedang dalam proses rundingan dengan dua kelab di Liga 1 Thailand.
Katanya, tempoh tiga bulan di sini belum cukup memberi kepuasan untuk dirinya mengenali budaya dan corak permainan Liga 1 Thailand.
“Kontrak saya sudah habis dengan Police Tero dan kini saya dalam proses perbincangan dengan dua kelab Liga 1 Thailand. Kalau boleh saya nak terus berada di sini dan berada lebih lama kerana masih banyak yang saya perlu belajar.
“Tempoh tiga bulan di sini belum cukup untuk saya mengenali dan memahami budaya bola sepak Thailand, jadi sebolehnya saya mahu terus mengendali kelab di sini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Cheng Hoe mencipta nama sebagai jurulatih sulung dari Malaysia yang berkhidmat di negara Gajah Putih.
Bekas ketua jurulatih Kedah dan Selangor menyertai kelab Police Tero itu pada penghujung bulan Februari lalu selepas meninggalkan skuad Red Giants secara mengejut.
Dalam tempoh 11 perlawanan mengendalikan The Silver Shield Dragon, beliau hanya meraih dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan.
Keputusan itu tidak cukup untuk menghalang Police Tero daripada mengalami penyingkiran ke Liga 2 Thailand untuk musim 2024/25, bersama dua lagi pasukan, Chonburi dan Trat.
Ketika ditanya mengenai pengalaman sepanjang tiga bulan di Thailand, Cheng Hoe mengakui ia merupakan satu cabaran baharu untuk dirinya dan saingan liga yang terdiri daripada 16 pasukan ini sangat kompetitif.
“Kesemua 16 pasukan dalam saingan Liga 1 Thailand miliki kekuatan tersendiri, kalau lihat lima pasukan diatas ada jurang sedikit dengan yang bawah tetapi akan ada kejutan dan sukar untuk katakan pasukan itu adalah pasukan belasahan.
“Layanan di sini juga sangat baik dan mereka menghormati kita walaupun kita adalah orang luar. Kini saya masih dalam fasa menyesuaikan diri dan akan cuba secepat mungkin belajar untuk kekal relevan dalam saingan ini,” jelasnya. – UTUSAN










