Taring Speedy Tigers masih tumpul  

Taring Speedy Tigers masih tumpul  

PEMAIN Perancis mengasak kubu Malaysia dalam aksi Piala Negara-Negara di Poland, kelmarin. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan belum mampu menterjemahkan penyudah yang ampuh selepas tewas kepada Perancis 3-1 pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala Negara-Negara 2024 di Poland.

Jentera serangan Speedy Tigers jelas masih pincang memanfaatkan peluang yang ada sekali gus menyaksikan skuad kendalian Sarjit Singh mustahil untuk menjaringkan gol,

Sarjit berkata, anak-anak buahnya perlu menganalisis semula masalah pada jentera serangan yang mengakibatkan gagal menyempurnakan lima pukul sudut yang diraih.

Menurutnya, selain daripada jentera serangan kesilapan kecil yang dihasilkan oleh benteng pertahanan memberi peluang percuma kepada Perancis untuk meledak tiga gol.

“Banyak ruang dan masa untuk pemain meningkatkan lagi kemahiran mereka. Mereka perlu analisis semula bersama saya berikutan lima pukulan sudut yang tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kami dihukum dengan kesilapan kecil. Ianya memang satu kerugian yang besar buat kami namun sekurang-kurangnya kami masih ada satu mata,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung kelmarin, gol tunggal Malaysia disumbang oleh penyerang sensasi negara, Faizal Saari yang mana jaringan ketiganya dalam kejohanan terbabit. 

Terdahulu, Malaysia membuka tirai saingan Piala Negara-Negara dengan hampa selepas Pakistan bangkit untuk mengikat Speedy Tigers 4-4.

Dalam pada itu, Sarjit memuji permainan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya di Poland.

Menurutnya, pemain negara menunjukkan komitmen yang tinggi dan tidak mustahil untuk mencipta kejutan menentang Kanada pada hari ini 

“Secara keseluruhan pemain main dengan bagus dan menunjukkan komitmen untuk bermain dengan sangat tinggi.

“Perlawanan seterusnya kami tiada pilihan selain mengatasi Kanada. Mentaliti kemenangan perlu diterapkan kepada mereka supaya mampu mencipta kejutan pada aksi terakhir hari ini,” katanya.

Perlawanan terakhir Kumpulan B menyaksikan Malaysia bakal menentang Kanada yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9.30 malam ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN