PETALING JAYA: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang mengidamkan memiliki stadium sendiri tidak bersetuju jika kemudahan sukan itu dikongsi bersama universiti tempatan.
Presidennya, Datuk Sumali Reduan membantah cadangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mencadangkan membina stadium terbabit dengan kerjasama universiti tempatan.
Menurutnya, cadangan terbabit meragukan dari segi kekangan logistik susulan kemudahan itu bukan hak milik mutlak PSM, malah menimbulkankan kesukaran kerana perlu kelulusan pihak universiti jika mahu menjalankan sebarang aktiviti.
“Saya tidak pasti apa yang beliau (Hannah) maksudkan dengan cadangan terbabit. Kami keliru sama ada boleh membina kemudahan dalam kawasan universiti ataupun menggunakan infrastruktur yang sedia ada milik universiti itu sebagai stadium kami.
“Bagaimanapun, saya akan menghubungi beliau untuk penjelasan lanjut. Ia tidak mustahil untuk menggunakan dewan universiti, namun saya rasa itu menimbulkan kesulitan kerana ia bukan hak milik kita.
“Sebagai contoh jika ada persatuan mahu menganjurkan kejohanan antarabangsa, namun ianya tidak diluluskan oleh pihak universiti. Jadi ini saya rasa kita perlu ada stadium sendiri untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini,” katanya.
Terdahulu, Hannah mencadangkan potensi kerjasama dengan pihak universiti tempatan dilengkapi kemudahan sesuai untuk dijadikan gelanggang rasmi skuad sepak takraw negara.
Dalam pada itu, Sumali memberi bayangan mahu sebuah stadium yang mampu menampung tiga hingga empat gelanggang dalam satu masa.
Menurutnya, kapasiti Stadium Titiwangsa yang terhad serta hanya mampu memuatkan dua gelanggang menimbulkan kesulitan untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa yang berskala besar.
“Pendapat saya Stadium Titiwangsa cukup bagus namun dari segi kapasiti ia terhad untuk 3,000 orang sahaja. Saya bukannya mahu stadium sebesar Axiata Arena. Hanya mahu stadium yang cukup untuk 5,000 orang dan lengkap dengan kemudahan seperti asrama pemain.
“Penting untuk Malaysia wujudkan stadium tersendiri kerana sukan ini warisan kita. Ianya akan menjadi penanda aras kepada kita,” ujar Sumali.
Kem takraw negara bergelar juara dunia menerusi pasukan beregu dan regu selepas mengatasi Thailand manakala acara berpasukan meraih perak selepas turut tewas negara yang sama 1-2. – UTUSAN










