Strategi Pan Gon jadi penentu

Strategi Pan Gon jadi penentu

PEMAIN-pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Wisma FAM, kelmarin sebelum berlepas ke Bishkek, Kyrgyzstan untuk melengkapkan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perancangan taktikal daripada Kim Pan Gon bakal menentukan nasib Harimau Malaya ketika berdepan Kyrgyzstan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, esok.

Ini selepas tujuh pemain utama Harimau Malaya iaitu Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Romel Morales, Ahmad Syihan Hazmi, Darren Lock, Syafiq Ahmad dan Azam Azmi Murad tidak bersama pasukan dalam ketika ini susulan mengalami kecederaan.

Posisi paling kritikal ketika ini ialah penyerang dengan pilihan yang ada hanyalah Haqimi Azim Rosli dan dalam ‘nota kecil’ Pan Gon semestinya ada perancangan terbaik bagi memilih pemain mana yang bakal berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berkata, berdepan Kyrgyzstan dalam misi hidup mati untuk mencerahkan peluang dalam aksi kelayakan, Harimau Malaya tidak boleh memberikan ruang kepada lawan untuk menguasai perlawanan.

Katanya, beraksi di tempat lawan dengan kehilangan ramai pemain utama sudah tentu akan memberikan kesan kepada pasukan, namun ia harus dipandang positif oleh semua pihak dan pemain lain yang diberikan sandaran juga perlu membuktikan sesuatu.

“Kepakaran Pan Gon untuk mencatur pemain yang ada di posisi tertentu yang kritikal bakal memastikan skuad negara berpeluang membawa pulang tiga mata. Dia (Pan Gon) tahu kerja dia, tugas pemain ialah ‘deliver’ atas padang.

“Betul kita hilang khidmat Arif, Faisal dan Romel di posisi penyerang, tetapi kita masih ada Haqimi dan Paulo Josue yang saya lihat boleh memainkan peranan yang sama. Di barisan pertahanan dan tengah saya tidak terlalu bimbang.

“Saya fikir, peluang untuk kita masih ada dan terbuka. Mahu tak mahu kita kena menang. Berikan kepercayaan kepada pasukan dan Pan Gon, sebelum beliau memanggil pemain yang ada ketika ini, sudah tentu sudah kaji,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam skuad kali ini, Pan Gon memanggil beberapa muka baharu untuk mewakili Harimau Malaya seperti, Haqimi, Safwan Mazlan, Adib Raop, Engku Shakir, Declan Lambert, Zhafri Yahya dan Shamie Iszuan.

Secara tidak langsung, kehadiran pemain baharu ini boleh menjadi ‘senjata’ rahsia Harimau Malaya dalam perlawanan pusingan kedua menentang Kyrgyzstan yang tumpas 3-4 kepada Malaysia dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tahun lalu.

Selepas bertemu Kyrgyzstan, skuad negara akan menutup aksi kumpulan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini.

Harimau Malaya perlu meraih kemenangan dalam dua baki perlawanan ini untuk membuka peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara merit ke Piala Asia 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN