BERLIN: Sepanyol membuka kempen Euro 2024 dengan bergaya selepas menewaskan naib juara Piala Dunia 2018, Croatia 3-0, sebentar tadi.
Lebih manis, pertembungan dua gergasi Eropah itu memahat sejarah apabila pemain Sepanyol, Lamine Yamal yang berusia 16 tahun menjadi pemain termuda beraksi pada kejohanan terbabit.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Olympiastadion itu, permainan bermula agak hambar pada 29 minit pertama, namun Alvaro Morata memecah kebuntuan untuk Sepanyol mendahului permainan.
Selang empat minit kemudian, Sepanyol menggandakan jaringan apabila Fabian Ruiz membingungkan benteng pertahanan Croatia dengan gerakan cantik sebelum merembat bola ke sudut gawang.
Pemain termuda Euro, Yamal beraksi cemerlang selepas menghasilkan hantaran silang dan kemudian disempurnakan oleh Dani Carvajal untuk jaringan ketiga Sepanyol pada masa kecederaan.
Croatia yang dikendali oleh Zlatco Dalic gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan pada babak kedua apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Rodri menggasak Bruno Petkovic pada minit ke-78.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Croatia selepas tendangan penalti Petkovic ditepis oleh Unai Simon sebelum melantun semula kepadanya untuk jaringan pertama, namun Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak membenarkan gol terbabit berikutan Ivan Perisic menceroboh kotak penalti terlalu awal. – AGENSI










