Sepak takraw buka langkah bida ke Olimpik

Sepak takraw buka langkah bida ke Olimpik

Sepak takraw mengorak langkah lebih jauh apabila memohon untuk sukan itu dipertandingkan di Sukan Olimpik.- UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) akan membuat permohonan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Oktober ini bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai badan sukan di bawah jawatankuasa tersebut.

Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, pihaknya sudah memenuhi segala kriteria yang diperlukan dan pengiktirafan tersebut sangat penting kerana ia menjadi penentu untuk sukan sepak takraw layak dipertandingkan di Sukan Olimpik.

Abdul Halim berkata, selepas pengiktirafan itu diperolehi, pihaknya akan melobi untuk memastikan sukan sepak takraw diterima untuk dipertandingkan di pentas Olimpik dengan acara beregu dan regu akan diberikan keutamaan pada temasya terbesar dunia itu.

“Untuk masuk ke Olimpik, satu-satu sukan itu perlu mendapat sokongan daripada 109 anggota IOC di persidangan tahunan mereka. Apa yang penting ialah sukan itu mesti mendapat pengiktirafan dahulu an kita sedang ke arah untuk dapatkan pengiktirafan.

“Untuk diiktiraf, sukan tersebut mesti mempunyai 55 negara yang bermain serta menganggotai badan induk sepak takraw dunia Istaf. Kita sudah pun mencapai kriteria itu dan syarat lain ialah Istaf perlu mempunyai kejohanan sepak takraw dunia.

“Selain itu, kita juga mesti menjadi anggota kepada Agensi Anti-Doping Dunia (Wada), yang mana Istaf perlu memastikan semua kejohanan dunia dan antarabangsa mempunyai kawalan ujian air kencing pemain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Halim, biarpun nampak sukar dan mustahil, pihaknya berharap sepak takraw akan diberikan keistimewaan pada Sukan Olimpik Los Angeles (2028) kerana pelbagai perubahan telah dilakukan untuk merealisasikan impian ke pentas Olimpik.

“Istaf sudah bersedia dengan semua kriteria yang diinginkan termasuk segala dokumen dan juga rakaman-rakan video untuk rujukan pihak IOC. Saya penuh yakin yang istaf dapat penuhi kriteria tersebut, sebaik permohonan dibuka kita akan mohon,” katanya.

Ditanya kenapa acara beregu dan regu menjadi pilihan untuk ke Olimpik, Abdul Halim berkata, kapasiti kontinjen untuk satu-satu sukan diambil kira untuk penyertaan ke Olimpik dan dua acara itu berpeluang cerah kerana tidak melibatkan penyertaan yang ramai.

“Jika ‘size’ kontinjen besar, ia akan membebankan tuan rumah. Jadi, saya fikir acara beregu dan regu adalah yang terbaik untuk masuk dahulu. Biar kita bertapak (di Olimpik) dan selepas itu kita fikir pula acara-acara lain, yang penting masuk dahulu,” katanya.

Untuk rekod, sukan sepak takraw sudah membuat beberapa perubahan untuk ke Olimpik termasuk perubahan sistem kiraan daripada 21 kepada sistem 15 mata dengan satu servis yang digunapakai ketika ini bagi mempercepatkan durasi perlawanan.

Selain itu, pengenalan sistem ranking dunia oleh Istaf selepas Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa bulan lalu juga bakal memajukan serta mengukuhkan lagi imej sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×