PETALING JAYA: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) berpuas hati dengan pencapaian skuad negara di Kejohanan Kelayakan Memanah Akhir di Antalya, Turkiye walaupun skuad lelaki menamatkan cabaran lebih awal serta gagal ke Sukan Olimpik 2024.
Sebaliknya trio wanita negara dibarisi Ariana Nur Dania Mohammad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh layak secara merit ke Temasya Paris walaupun tewas kepada China 5-4 pada aksi final dalam kejohanan tersebut.
Skuad lelaki negara yang diwakili Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli, Muhammad Danish Amsyar Norazlan dan Muhammad Syafiq Busthamin bagaimanapun gagal di pusingan awal acara berpasukan dan individu.
Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan tersebut berikutan badan induk tersebut menghantar atlet muda menyertai kejohanan tersebut.
“Tahniah kepada trio wanita negara yang melakar sejarah apabila meraih slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Pasukan lelaki dan wanita yang dihantar kebanyakannya atlet pelapis jadi apabila tidak layak (skuad lelaki) itu kita sudah jangka tetapi mereka telah cuba terbaik.
“Nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas kepada pasukan Indonesia yang kita tahu memang kuat. Ini kali pertama mereka menyertai kejohanan kelayakan jadi kita akur terima keputusan itu,” katanya.
Untuk rekod, Ariana telah pun menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris selepas memenangi emas bagi acara recurve 70 meter (m) di final Kejohanan Benua Asia, Bangkok, November lalu. – UTUSAN










