PADERBORN: Pemain tengah Perancis, Aurelien Tchouameni mengakui tidak peduli terhadap kritikan dilemparkan terhadap aksi pasukannya sepanjang Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Sekalipun, turun selaku pasukan pilihan, Perancis masih belum mengesahkan slot ke kalah mati, malah Les Bleus belum menunjukkan prestasi sebenar pada kejohanan tersebut.
“Ada orang mahukan kemenangan disertai persembahan menarik tetapi ada juga yang hanya mahukan kemenangan sahaja. Secara peribadi, saya hanya mahukan kemenangan sahaja, sama ada kita bermain dengan baik atau tidak.
“Apa yang penting ialah kemenangan dan mendapatkan tiga mata kerana saya fikir di hujung karier, kita akan mengingati apa yang telah kita menangi bukan cara kita bermain,” kata Tchouameni.
Naib juara Piala Dunia 2022 itu dijadual menentang Poland dalam aksi terakhir Kumpulan D di Dortmund dan Perancis berada di tangga kedua berkongsi empat mata bersama pendahulu, Belanda.
Perancis mencatat kemenangan tipis 1-0 ketika menentang Austria dan jaringan tersebut berpunca gol sendiri pasukan lawan sebelum terikat tanpa jaringan sewaktu bertemu Belanda.
Les Blues kerap menerima kritikan selepas tidak bermain dengan lebih agresif walaupun memiliki jentera serangan berkualiti di bawah pimpinan jurulatih, Didier Deschamps.
“Dalam tempoh baru-baru ini kami mempunyai banyak keputusan bagus serta memenangi kejuaraan bersama jurulatih ini. Itu yang paling penting.
“Saya faham sesetengah orang mahukan pasukan mereka bermain bola sepak dengan baik. Mungkin kami tidak bermain dengan baik tetapi kami sering kali layak ke final dan itu paling mustahak bagi saya,” katanya.
Keputusan seri menentang Poland yang telah pun tersingkir sudah mencukupi buat Perancis untuk mengesahkan slot ke 16 pasukan terakhir.
Kapten, Kylian Mbappe dijangka diturunkan pada aksi tersebut selepas dia diketepikan ketika menentang Belanda selepas mengalami kecederaan patah hidung sewaktu bertemu Austria dan sedang membiasakan diri untuk beraksi menggunakan topeng perlindungan.
“Saya fikir semua orang tahu betapa terujanya dia untuk bermain pada aksi seterusnya. Dia juga sudah mula membiasakan diri dengan topeng perlindungan,” katanya lagi. – AFP/UTUSAN










