PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyeru pemain-pemain untuk berjuang habis-habisan apabila turun berdepan Kyrgyzstan pada aksi kelima Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, hari ini.
Katanya, hanya kemenangan membolehkan Malaysia meraih tiket ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 dan melakar sejarah baharu untuk bola sepak negara iaitu menjejak kaki buat kali pertama di kelompok 18 terbaik Asia.
Pan Gon berharap para pemain berjuang hingga minit terakhir perlawanan seperti mana dilakukan mereka ketika bangkit menewaskan 4-3 Kyrgyzstan di Bukit Jalil dan mengikat Korea Selatan 3-3 sewaktu Piala Asia 2023 di Qatar.
“Terima kasih mengingatkan saya tentang perkara positif itu, memori itu buatkan kami kuat dan banyak situasi, di mana kami sentiasa menunjukkan semangat tidak mudah mengalah.
“Seperti mana kami ketinggalan 1-3 sebelum bangkit menang 4-3 ketika menentang Kyrgyzstan di Bukit Jalil dan kami melakukan perkara sama ketika Piala Asia (2023) menentang Korea Selatan dengan mengikat mereka 3-3.
“Ini mengenai mental dan itu yang saya harapkan kepada pemain-pemain untuk menunjukkan kekuatan sama dan berjuang habis-habisan demi negara sehingga wisel penamat perlawanan,” katanya pada sidang media pra perlawanan Malaysia menentang Kyrgyzstan, semalam.
Mengimbas kembali kemenangan 4-3 Harimau Malaya ke atas Kyrgyzstan dalam aksi pertama Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November tahun lalu, dua daripada gol skuad negara telah disumbangkan oleh tonggak pertahanan, Dion Cools.
Ketika ditanya mengenai kekuatan Kyrgyzstan, Pan Gon menyedari beberapa perubahan telah dilakukan pasukan ranking ke-100 dunia itu dan akui Malaysia yang berada di kedudukan ke-138 turut melakukan rombakan sama.
“Benar…kami menyedari dengan perubahan dilakukan Kyrgyzstan dan kelebihan dimiliki mereka berbanding kami seperti kemasukan beberapa pemain baharu yang berkualiti, ranking lebih baik dan bermain di tempat sendiri.
“Tapi kami juga telah bersedia dengan perkara itu dan turut memanggil beberapa pemain baharu yang tidak sama seperti pertemuan pertama dengan Kyrgyzstan.
“Saya tidak mahu terlalu fikir perkara lain kerana misi kami di sini untuk menang dan merebut tiket ke kelompok 18 terbaik (pusingan ketiga Piala Dunia) dan itu menjadi sumber utama motivasi kami,” ujarnya.
Selepas aksi menentang Kyrgyzstan, Malaysia akan menutup saingan pusingan kedua bertemu Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 11 Jun.
Ketika ini, skuad negara memerlukan enam mata maksimum daripada baki dua aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 itu bagi membolehkan mereka layak ke pusingan ketiga tercapai sekali gus melakar sejarah baharu buat bola sepak Malaysia.
Selain itu, ia juga akan membolehkan pasukan mara secara automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi sekali gus layak buat kali kedua berturut-turut di kejohanan berkenaan. – UTUSAN










