KUALA LUMPUR: Sejarah tercipta sekali lagi bagi sukan bina badan apabila juara dunia enam kali, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah mengukir nama pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan, sebentar tadi.
Mohd Syarul yang diberi julukan “Mike” itu layak meraih anugerah terbabit selepas muncul selaku juara pada Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan November lalu.
Gelaran tersebut menjadi penutup karier Mike selepas mengumumkan persaraannya Mac lalu sekaligus meletakkan beliau berada sebaris dengan barisan legenda bina badan negara yang pernah diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan yang kali terakhir dirangkul oleh Sazali Samad pada 2014.
“Selepas enam kali saya dicalonkan saya amat berterima kasih kepada panel yang memilih saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu, anak dan isteri saya.
“Terima kasih kepada Persatuan Bina Badan yang sentiasa memberi saya semangat ketika saya mahu bersara dua tahun lalu. Saya hargai jasa Institut Sukan Negara (ISN) yang sentiasa kerana sentiasa memantau tahap kesihatan saya,” katanya ketika berucap pada ASN 2023, di Majlis Sukan Negara, hari ini.
Pada majlis ASN 2023 itu, Mike diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas mengenepikan cabaran empat calon lain Ng Eain Yow (skuasy), Mohd Qabil Ambak (ekuestrian), Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (boling).
Anugerah yang diperkenalkan sejak 1966 itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sementara itu, gelaran Olahragawati Kebangsaan pula menjadi milik atlet boling negara, Natasha Mohamed Roslan selepas merangkul gelaran juara dunia pada Kejohanan Tenpin Boling Dunia di Kuwait Oktober lalu.
Atlet berusia 28 tahun itu mengenepikan empat pencabar lain termasuk juara skuasy Klasik London lalu, S.Sivasangari serta Nur Amisha Azrilrizal (muay thai), Nur Shazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).
“Saya percaya anugerah ini saya tidak akan kecapi tanpa dorongan dan bantuan semua pihak. Terima kasih kepada semua yang membantu saya. Saya berjanji akan terus berjuang mencapai tahap tertinggi,” ujar Natasha.
Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan pula dirangkul skuad tenpin boling bagi acara beregu lelaki, Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Ahmad Muaz Mohd Fisol manakala Pasukan Wanita Kebangsaan menjadi milik beregu wanita dalam sukan boling padang, Aleena Ahmad Nawawi serta Nur Ain Nabilah Tarmizi.
Berita gembira buat kem boling padang negara apabila jurulatihnya, Zuraidi Puteh merangkul gelaran Jurulatih Lelaki Kebangsaan manakala Wendy Chai De Choo dari sukan tenpin boling meraih anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan.
Dalam pada itu, pemenang pingat emas temasya Sukan Para Asia 2022 Hangzhou, Bonnie Bunyau Gustin dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan selepas merangkul gelaran pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Dubai, Ogos lalu.
Atlet para berbasikal negara, Nur Suraiya Muhammad Zamri serta jurumudinya, Farina Shawati Mohd Adnan dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan selepas merangkul pingat emas pada Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou.-UTUSAN










