LONDON: Chelsea mengesahkan pelantikan Enzo Maresca sebagai pengurus baharu dengan kontrak lima tahun untuk menggantikan Mauricio Pochettino yang meninggalkan kelab itu.
Bekas bos Leicester City berusia 44 tahun itu menarik minat Chelsea selepas mengemudi Leicester memenangi Liga Kejuaraan musim lalu dalam kempen sulungnya di Stadium King Power.
Beberapa calon dikaitkan dengan jawatan di Chelsea susulan pemergian Pochettino selepas hanya satu musim mengendalikan kelab itu, namun Maresca tetap menjadi pilihan utama kelab berkenaan.
Bekas bos Brighton, Roberto De Zerbi, pengurus Ipswich, Kieran McKenna dan jurulatih Brentford, Thomas Frank dilaporkan berada dalam senarai pertimbangan sebelum kelab barat London itu memutuskan untuk mengikat Maresca.
“Kami gembira untuk menyambut kehadiran Maresca ke Chelsea. Beliau sudah membuktikan keupayaannya sebagai jurulatih cemerlang mampu meraih keputusan mengagumkan dengan gaya yang menarik dan tersendiri.
“Beliau benar-benar memukau kami dalam perbincangan kami sebelum pelantikannya. Impiannya dan etika kerjanya selaras dengan kelab ini,” kata pengarah sukan bersama Chelsea, Laurence Stewart dan Paul Winstanley dalam satu kenyataan.
Maresca, yang pernah menjadi staf Pep Guardiola di Manchester City, akan memulakan peranan baharunya pada 1 Julai ini dengan kontrak lima tahun dan pilihan bagi tambahan setahun lagi.
“Untuk menyertai Chelsea, satu daripada kelab terbesar di dunia, adalah satu impian bagi mana-mana jurulatih. Itulah sebabnya saya terlalu teruja dengan peluang ini.
“Saya tidak sabar untuk bekerja dengan sekelompok pemain yang amat berbakat dan staf untuk membentuk pasukan yang meneruskan tradisi kelab meraih kejayaan dan membanggakan peminat kami,” kata pengurus dari Itali itu. – AGENSI/UTUSAN










