PETALING JAYA: Malaysia perlu bermain seperti ‘harimau lapar’ ketika berdepan Taiwan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bagi mencari sekurang-kurangnya lapan gol untuk mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.
Anak-anak buah Kim Pan Gon perlu memanfaatkan segala peluang yang terhidang bagi memenangi aksi terakhir Kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selain tidak boleh melepaskan sebarang gol kepada pasukan tercorot Kumpulan D itu.
Dalam masa yang sama, Malaysia perlu mengharapkan ihsan Oman untuk menumbangkan Kyrgyzstan dengan kemenangan besar sekiranya mahu ‘lolos’ ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih slot merita Piala Asia 2027.
Biarpun misi menang besar ke atasi Taiwan nampak mustahil, Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani tetap menaruh keyakinan skuad kebangsaan mampu untuk merealisasikan impian berkenaan jika semua pemain memainkan peranan.
Katanya, Harimau Malaya perlu menerapkan permainan menyerang dan setiap peluang yang terhidang pula tidak boleh dibazirkan dengan sewenang-wenangnya bagi mengelak tekanan yang memuncak untuk menghasilkan gol yang banyak.
“Malaysia kena main menyerang, jentera tengah juga perlu main peranan untuk ‘suap’ bola kepada penyerang untuk hasilkan gol. Pendek kata, semua kena buat kerja termasuk bahagian pertahanan untuk elak gawang negara di bolosi.
“Untuk bahagian serangan, Pan Gon juga boleh memikirkan beberapa alternatif lain termasuk menggunakan Haqimi (Azim Rosli) dan Safawi (Rasid) lebih awal untuk mengemudi jentera serangan negara dalam aksi menentang Taiwan.
“Bukan bermakna Paulo (Josue) tidak bagus, tetapi sebagai nilai tambah kepada pasukan untuk perlukan jaringan banyak, kita perlukan penyerang yang tajam. Pemain tengah dan pertahanan juga boleh meledak nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Malaysia pernah membelasah Papua New Guinea 10-0 pada Jun tahun lalu dan ia bakal menjadi ‘azimat’ dalam usaha untuk mengulangi satu lagi kemenangan besar yang cuba dilakar ke atas Taiwan yang berada di ranking ke-159 dunia.
Tiga penjaring pada kemenangan besar itu berada dalam skuad kali ini iaitu Paulo Josue yang berjaya meledak hatrik, Daniel Ting dan juga Safawi Rasid.
Dalam pada itu, Hassan yang terkenal dengan julukan ‘lipas kudung’ pada era kegemilangannya turut mengingatkan pasukan negara agar tidak memandang mudah cabaran Taiwan yang pastinya ingin menjaga maruah sekurang-kurangnya mengutip satu mata. – UTUSAN










