PETALING JAYA: “Situasi Muhammad Azeem Fahmi ketika ini yang boleh saya katakan ialah berusaha atau kamu akan terlepas kerana Terbuka Kazakhstan ini adalah peluang terakhir.”
Legenda pelari pecut negara, Watson Nyambek menitip kata-kata itu selepas bimbang catatan masa Azeem yang tidak memberangsangkan pada Olahraga Terbuka Malaysia minggu lalu.
Beliau berkata, sekiranya Azeem tidak memaksa dirinya untuk berlari lebih laju, peluang atlet itu semakin tipis melainkan akan terpaksa bergantung kepada penyertaan menerusi wildcard atau terpaksa menunggu Sukan Olimpik seterusnya.
“Setakat ini, prestasi Azeem di kejohanan Terbuka Malaysia tidak memberangsangkan, dengan masa yang dicatatkan jauh daripada standard kelayakan.
“Sudah pasti, kesukaran ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pihak pengurusan, yang perlu bijak dalam memberikan tiket kelayakan kepada atlet yang hampir mencapai syarat kelayakan,” kata Watson kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Watson, harapan utama Azeem kini terletak pada wildcard, namun peluang ini juga diidamkan oleh atlet olahraga yang lain.
“Situasi buat Azeem ketika ini yang boleh saya katakan ialah berusaha atau kamu terlepas kerana terbuka Kazakhstan ini merupakan peluang terakhir buat beliau, sekiranya gagal, beliau kena harapkan wildcard atau tunggu Olimpik yang seterusnya,”jelasnya.
Dalam pada itu, terdapat juga dakwaan mengatakan pemilihan Azeem mungkin dilakukan terlalu awal, yang menyumbang kepada prestasi kurang memuaskan.
Untuk kedudukan dunia ketika ini, Azeem berada di tangga ke-60 dunia yang mana dia perlu mencari tempat 56 terbaik sekiranya ingin melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebelum ini, Azeem berkata, Terbuka Kazakhstan merupakan peluang terakhirnya bagi mendapatkan catatan masa terbaik sekali gus layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris. – UTUSAN









