Jadikan 22 Mac setiap tahun Hari Seniman, Hari Finas

Jadikan 22 Mac setiap tahun Hari Seniman, Hari Finas

SAMBUTAN Hari Seniman Negara pada setiap 22 Mac sempena tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, bagi memperingati jasa dan sumbangan seniman agung tanah air ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun pada tarikh 22 Mac, sesetengah dalam kalangan seniman dan seniwati serta segelintir pencinta filem Melayu lama seperti saya akan tertumpu ingatan serta perhatian kepada sosok Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee kerana ia adalah tarikh lahirnya permata yang berharga dalam industri seni tanah air.

Beliau juga dianggap sebagai satu-satunya insan seni kelahiran alam Melayu yang amat istimewa sekali. Bahkan di akhir kariernya sebagai pelakon dan pengarah di Studio Malay Filem Production Jalan Ampas pada 1963, P. Ramlee telah dianugerahi satu pengiktirafan yang cukup istimewa sebagai seniman serba boleh.

Ia adalah suatu pengiktirafan khusus yang tidak pernah wujud sebelum dan kemudiannya juga. Dalam dunia perfileman di dunia antarabangsa seperti di Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Tokyo dan sebagainya, belum pernah muncul seorang tokoh perfileman yang cemerlang dalam semua kategori sebagai pelakon utama, pengarah, penyanyi, pencipta lagu dan pemain alat muzik.

Keistimewaan ini dimunculkan dalam filem Ibu Mertuaku yang memaksa para juri di Festival Filem Asia di Tokyo pada 1963 mewujudkan satu kategori khas yang tidak dipertandingkan, mengatasi semua kategori yang dipertandingkan.

Sebelum memenangi anugerah tertinggi ini, P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh melalui filemnya berjaya menggondol tujuh anugerah lain seperti kategori Penataan Muzik Terbaik bagi filem Hang Tuah (1956), Pelakon Lelaki Terbaik bagi filem Anakku Sazali (1957), Penggambaran Hitam Putih Terbaik (1958) bagi filem arahannya Sumpah Orang Minyak dengan bersama jurugambar A.Bakar Ali, di susuli tiga filem komedi atau jenaka iaitu Pendekar Bujang Lapok (1959), Nujum Pak Belalang (1959) dan Madu Tiga (1964).

Berbanding dengan khidmatnya selama sembilan tahun sebagai pengarah ketika di Studio Filem Merdeka, P. Ramlee gagal meraih sebarang anugerah di Festival Filem Asia baik untuk filem, drama masyarakat dan purba atau dongeng mahupun untuk filem komedi.

Tentunya ia memerlukan suatu ruang yang agak luas untuk kita membuat olahan dan perbandingan kenapa filem filem P. Ramlee amat berjaya semasa beliau di Studio Jalan Ampas tetapi tidak begitu semasa di Studio Filem Merdeka.

Tahun ini genap 51 tahun, pada 29 Mei 1973 ‘perginya’ seniman agung ini. Ekoran terlalu banyak jaga yang disumbangkan beliau dalam industri seni ini, apa kata kerajaan isytiharkan setiap 22 Mac (hari lahir P. Ramlee) sebagai Hari Perayaan untuk para seniman atau seniwati dan sekali gus Hari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Bagi saya ia sesuatu yang wajar diperbincangkan.

Ini membawa kita kepada satu kenangan atau ingatan semasa turut menyertai rombongan Finas sempena Minggu Filem Malaysia di ibu kota Uzbekistan iaitu Tashkent sekitar 1990-an, lebih kurang 30 tahun yang lalu.

Pada salah satu malam di Tashkent ketika rombongan Finas diundang menghadiri jamuan tahunan yang besar, saya diberitahu ia (jamuan tahunan) adalah bersempena sambutan Hari Seniman. Ia dimeriahkan bersempena dengan sama ada hari kelahiran atau kematian seorang seniman terulung meraka.
Lantas pada pagi esoknya ketika minum pagi, saya terus berbincang dengan beberapa orang ahli rombongan seperti Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin; bekas Ketua Pengarah Finas, Allahyaraham Datuk Shariff Ahmad; Ahli Lembaga Pengarah, Mustapha Yaacub dan seorang dua lagi bahawa kita juga sepatutnya ada Hari Seniman seperti ini yang boleh kita rayakan sebagai acara tahunan.

Dan kami terus terbayang akan sosok dan wajah Seniman Agung kita, P.Ramlee. Antara tarikh hari lahir P.Ramlee pada 22 Mac dan tarikh kematian pada 29 Mei, dirasakan lebih sesuai hari kelahirannya dijadikan pilihan sebagai Hari Seniman kerana kita semua juga sering merayakan hari kelahiran masing masing.

Sementara hari kematian adalah hari berdukacita. Hari itu lebih sesuai diadakan majlis membaca tahlil dan bukannya untuk di buat sambutan meriah.

lni membawa kita kepada persoalan kedua iaitu perayaan Hari Finas. Sememangnya ketika Pengerusi Finas, Allahyarham Tan Sri A. Samad Idris, Allahyarham Datuk Zain Hamzah dan Shariff Ahmad, dunia perfileman kita agak semarak mekar dengan pesta tahunan yang menghimpun para penggiat filem dalam pelbagai acara.

KELAINAN
Finas ketika itu berada di bawah Kementerian Penerangan diterajui oleh seorang pencinta seni, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat. Ketika itu, ada Hari Terbuka Finas untuk masyarakat massa berkunjung ke Studio Merdeka bertemu mesra dengan bintang idola dan pujaan mereka.

Satu lagi kelainan ketika itu ialah kaedah pelaksanaan acara berkaitan perfileman pada 1990-an semasa Festival Filem Malaysia diadakan. Ketika itu konsep berhijrah dari satu negeri ke satu negeri, bermula dengan Melaka, kemudian berhijrah kembali ke Kuala Lumpur, seterusnya ke Johor Bahru, Ipoh serta Shah Alam, kembali ke Kuala Lumpur dan sebagainya.

Dengan cara ini, peminat filem-filem Malaysia di luar ibu kota Kuala Lumpur juga dapat turut sama memeriahkan dunia perfileman yang pada masa kini mampu menjana pendapatan berbilion ringgit pada setiap tahun.

Barangkali inilah cara terbaik bukan hanya setakat merayakan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh anak seni dalam dunia perfileman pada masa kini, tetapi juga mengingati sumbangan seniman dan seniwati pada zaman silam yang telah meninggalkan tapak yang kukuh dalam dunia perfileman kita.-UTUSAN

DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah bekas Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan kini merupakan Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN