Gaji tertunggak masih membarah dalam Liga Super

Gaji tertunggak masih membarah dalam Liga Super

SAFEE SALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima beberapa laporan berkenaan tunggakan gaji pemain yang gagal dilunaskan oleh pasukan-pasukan Liga Super pada musim ini.

Ia didedahkan Presiden PFAM, Safee Sali yang berkata, lebih parah tunggakan berkenaan ada yang telah memasuki tempoh lima bulan dan ia adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku.

Tambahnya, pihak PFAM telah memulakan langkah mengikut prosedur ditetapkan untuk berbincang dengan pasukan terlibat bagi menyelesai isu tersebut secepat mungkin.

“Ada beberapa pasukan dalam Liga Super berdepan masalah tunggakan gaji, laporan juga telah dibuat oleh pemain kepada PFAM.

“Kita telah menjalankan proses tuntutan dan mencari jalan penyelesaian dengan perkara pertama adalah menghantar surat kepada pasukan berkenaan, selepas itu tindakan susulan akan dilaksanakan.

“Masalah ini masih berterusan walaupun tidak ada kenyataan daripada mana-mana pihak terutama daripada pemain tetapi bukan bermakna tidak timbul isu tunggakan gaji,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Liga Malaysia (Liga M) tidak mustahil lingkup sekiranya pasukan yang bertanding masih gagal menangani masalah tunggakan gaji dalam kalangan pemain.

Malah, jumlah pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga M turut berkurangan dan dijangka terus merosot sekiranya isu tersebut masih gagal diatasi.

Tambah Safee yang juga bekas penyerang Harimau Malaya berkata, setakat ini masalah tunggakan gaji masih belum mempunyai solusi untuk dinoktahkan dalam kancah bola sepak tempatan.

“Saya nampak belum dapat diselesaikan dengan cara baik. Kali ini kita ambil pendekatan berdiam dan melihat adakah pasukan akan ambil tanggungjawab untuk selesaikan secepat mungkin dan jaga kebajikan pemain tetapi ia masih berterusan.

“Sampai ada tunggakan empat hingga lima bulan, ini perkara yang tidak betul sebab pemain juga ada tanggungjawab dengan keluarga, komitmen bulanan (rumah,kereta dan sebagainya) jadi saya rasa masalah ini masih ada dan perlu dibetulkan serta tindakan tegas perlu diambil oleh pihak pengurusan pentadbir liga (MFL),” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN