ITALI: Itali memperoleh tonik terbaik dalam misi mempertahankan Kejuaraan Eropah (Euro 2024) selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Bosnia & Herzegovina pada aksi persahabatan, semalam.
Rembatan voli Davide Frattesi tujuh minit sebelum rehat sudah cukup untuk Itali mencipta kemenangan apabila beraksi dalam keadaan cuaca hujan lebat di Empoli.
Skuad Azzurri bermain lebih baik berbanding pertemuan menentang Turkiye yang disifatkan bosan selepas seri tanpa jaringan apabila dua percubaan Gianluca Scamacca dinafikan penjaga gol Bosnia, Kenan Piric.
“Saya sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol jadi masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
Kami mempunyai peluang yang bagus tetapi kami perlu mengambil kelebihan kerana di peringkat kumpulan Euro nanti kami akan mendapat peluang lebih sedikit,” kata Frattesi.
Itali memulakan kempen Euro menentang Albania pada 15 Jun ini bagi aksi Kumpulan B sebelum bertemu Sepanyol dan Croatia.
Bosnia tidak layak ke Euro 2024 beraksi tanpa kapten Edin Dzeko dihidangkan peluang terbaik namun percubaan Haris Hajradinovic dinafikan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.
Frattesi disajikan tiga peluang untuk menembusi gawang lawan sebelum berjaya melakukannya sekali gus menjaringkan gol kelima di pentas antarabangsa. – AGENSI/UTUSAN










