MELAKA: Melaka dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Bolasepak Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-102 yang akan diadakan secara karnival dari 17 hingga 26 Oktober ini dengan Akademi Mokhtar Dahari menyertainya buat kali pertama.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd. Firdaus Mohamed berkata, sebanyak 16 pasukan akan bertanding yang turut membabitkan tiga pasukan jemputan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang beraksi buat musim kedua manakala Akademi Mokhtar Dahari bermain buat pertama kali.
Beliau berkata, tirai kejohanan ini akan bermula dengan Kejohanan Piala Agong menemukan juara Piala Emas Raja-Raja musim lalu, Pahang dan Selangor yang juga penyandang piala ini tahun lalu akan berlangsung di Stadium UTeM pada 17 Oktober ini.
“Melaka dipilih sebagai tuan rumah secara karnival sebagai penghormatan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan pengiktirafan Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Melaka Baru,” ujarnya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini. – UTUSAN










