Thailand mahu ‘libas’ Malaysia

Thailand mahu ‘libas’ Malaysia

Muhammad Noraizat Mohd. Nordin (kiri) melakukan libasan ketika menentang Korea Selatan dalam aksi suku akhir beregu yang dimenangi Malaysia 11-15, 17-15, 8-15, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Thailand ya­kin mengekal status ‘raja’ sepak takraw dunia dan menyapu bersih tiga acara yang dipertanding di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Ketua jurulatih sepak takraw Thailand, Suphaloek Kimthong berkata, beliau yakin anak-anak buahnya tidak akan berdepan masalah besar biarpun kejohanan kali ini menggunakan sistem kiraan 15 mata.

Katanya, Thailand bukan sekadar mahu memburu kemenangan dalam acara rebu malahan meletakkan sasaran untuk membawa pulang dua lagi kejuaraan menerusi acara beregu dan berpasukan.

“Kami menikmati suasana perlawanan di sini, pemain juga gembira. Apa pun, kami meletakkan sasaran mampu melangkah ke pentas final dan akan berjumpa Malaysia pada perlawanan akhir.

“Tiada tekanan biarpun ber­depan tuan rumah, kami sudah biasa dengan semua itu. Jadi, impian kami adalah untuk me­ngatasi Malaysia dalam ketiga-tiga acara regu, beregu dan berpasukan,” katanya.

Ditanya mengenai peraturan servis tunggal, Suphaloek me­negaskan, pasukannya tidak terkesan, malah saingan Piala Dunia Sepak Takraw menjadi lebih sengit dengan pengenalan sistem baharu itu.

“Semua pasukan menggunakan peraturan baharu ini, jadi kami tiada masalah bagi kami. Perlawanan juga menjadi lebih menarik,” katanya yang menjadi peneraju skuad baharu Thailand.

Sistem kiraan 15 mata dengan servis tunggal mula diperkenalkan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024, sebelum ini sukan sepak takraw menggunakan sistem 21 dengan giliran tiga servis.

Bagaimanapun, pengenalan sistem itu mendapat reaksi pelbagai daripada peminat sukan berkenaan dengan ada yang mengatakan durasi perlawanan menjadi singkat dan ‘tidak puas’ untuk melihat pasukan beraksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN