Dalam dunia fesyen yang kadang-kadang terlalu sibuk mengejar minimalisme, jenama tempatan ini berani bermain dengan warna, cetakan dan sedikit rasa nakal.
Rebirth Series: Mandarin kurung in gui daripada Bayu Somerset adalah rekaan pilihan saya minggu ini.
Gui peach yang kita kenali kini ditemani lilac dan biru.
Tetapi yang membuatkan koleksi ini terasa relevan bukan sekadar pilihan warnanya.
Ia mengingatkan kita yang baju kurung sebenarnya antara pakaian paling demokratik dalam almari wanita Malaysia.
Yang penting, kita tahu bagaimana hendak memakainya mengikut tubuh sendiri.
Baju kurung ini menggunakan 100 peratus kapas dengan potongan lurus, kolar Mandarin dan butang simpulan di bahagian hadapan.
Kainnya pula menggunakan box pleat, pinggang bergetah dan satu perkara yang wanita akan faham nilainya tanpa perlu saya huraikan panjang, poket di kedua-dua belah.
Saiznya juga pelbagai, daripada XXS hingga 5XL.
Bagi yang bertubuh petite, jangan biarkan baju memakai anda. Potongan lurus sudah memberikan garis menegak yang cantik, jadi elakkan aksesori yang terlalu besar.
Kasut hujung sedikit tajam atau sandal bertumit sederhana boleh memanjangkan siluet. Beg kecil lebih serasi daripada tote besar.

Kalau bertudung, gaya yang kemas di sekitar bahu membantu mengekalkan proporsi.
Untuk tubuh pear, apabila bahagian pinggul lebih lebar daripada bahu, beri sedikit perhatian pada bahagian atas.
Kolar Mandarin itu sendiri sudah menjadi focal point yang baik. Anting-anting menarik, tudung berstruktur atau beg yang dipakai lebih tinggi boleh mengalihkan perhatian ke wajah dan bahu.
Tidak perlu obses ‘menyorokkan’ pinggul. Biar kain jatuh secara semula jadi.
Bagi tubuh apple atau bahagian tengah yang lebih berisi, potongan lurus adalah kawan yang baik. Jangan pula memilih saiz terlalu besar dengan harapan semuanya akan hilang.
Biasanya kita hanya akan tenggelam dalam kain. Cari saiz yang memberikan ruang selesa pada perut tetapi masih elok pada bahu.
Kasut atau beg dalam warna senada juga boleh menghasilkan satu garis visual yang lebih panjang.
Untuk yang bertubuh curvy atau hourglass, jangan takut untuk menunjukkan bentuk badan tanpa perlu memakai sesuatu yang ketat.
Pastikan jahitan bahu jatuh tepat dan bahagian atas tidak terlalu besar. Box pleat pada kain memberi ruang pergerakan sambil mengekalkan bentuk.
Beg berstruktur dan kasut ringkas sudah cukup.
Tentang warna, jangan terlalu takut dengan teori yang warna ini tidak sesuai dengan kulit anda.
Gui peach membawa rasa ceria, lilac memberi sisi lebih lembut dan sedikit romantik manakala biru mempunyai ketenangan yang mudah digayakan.
Cuba dahulu di depan cermin. Wajah anda selalunya akan memberi jawapan lebih jujur daripada carta warna di Internet.
Paling penting, jangan jadikan bentuk tubuh sebagai senarai perkara yang perlu diperbetulkan. Petite atau pinggul besar bukan masalah.
Mungkin itulah makna Rebirth yang paling cantik.
Bukan menjadi wanita baharu setiap kali membeli baju, tetapi kembali kepada wanita yang selama ini ada di dalam cermin.










