IPOH: Kesukaran Malaysia menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) menimbulkan kebimbangan kepada kapten skuad hoki lelaki negara, Marhan Jalil menjelang beberapa lagi kejohanan bakal disertai selepas ini.
Tujuh pukulan sudut penalti diperoleh ketika menentang Korea Selatan pada aksi terakhir liga sepusingan itu kelmarin menunjukkan ‘kelemahan’ ketara apabila kesemuanya gagal diterjemahkan menerusi gol.
Malah, 12 pukulan sudut penalti diberikan kepada Korea Selatan pada aksi itu turut meresahkan Marhan kerana benteng pertahanan kerap memberi ruang kepada lawan untuk memasuki kawasan D skuad negara.
“Sangat sukar untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan ini (Korea Selatan) sebab kita dapat banyak PC (pukulan sudut penalti) tetapi tidak dapat disempurnakan dengan gol, jadi itu agak merisaukan saya.
“Ada perkara yang tidak menjadi, jadi kami perlu bangkit semula dan saya harap kita dapat perbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.
Pada aksi itu, jaringan tunggal menerusi gol padang penyerang negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan, malah bernasih baik berjaya menutup permainan ‘terburuk’ mereka.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara, Sarjit Singh mengulangi apa yang pernah dikatakan sebelum ini bahawa ini adalah proses pembelajaran bagi membentuk pasukan dan segala kelemahan akan diteliti semula.
“Kami perlukan sekurang-kurangnya 40 perlawanan pada setiap tahun. Saya harap kesemua pemain akan diberi peluang sama rata untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Harap apabila kami beri peluang kepada mereka untuk beraksi, mereka dapat berikan aksi terbaik di atas padang,”ujarnya.
Selepas berakhir PSAS, skuad negara akan menyertai kejohanan Piala Negara-Negara di Poland dari 30 Mei hingga 9 Jun dan Trofi Juara-Juara Asia dari 8 hingga 17 September di Inner Mongolia, China. – UTUSAN










