KEMEROSOTAN mutu pendidikan negara yang dirasai oleh banyak pihak sebelum ini kini diabsahkan. Oleh itu, tidak ada alasan lagi untuk kita terus berdalih. Dengan ini, kita hendaklah berjiwa besar untuk mengakuinya bagi segera menanganinya. Ini penting agar ia cemerlang sekali lagi atau sekurang-kurangnya berada pada landasan betul semula.
Sehubungan ini, laporan Bank Dunia tentang keadaan pendidikan kita yang meleset dari beberapa segi bukan sahaja didapati betul, juga memalukan. Ini kerana citra negara turut terkesan dengan kejadian tidak baik yang sedang, malah sudah lama berlaku dalam sistem pendidikan negara, sehingga kesannya begitu ternyata pada hari ini yang tidak boleh disembunyikan lagi.
Sebilangan perkara ditonjolkan sebagai kelemahan penuh mudarat yang telah menjejaskan prestasi Malaysia. Citra Malaysia menjadi lebih buruk apabila kelemahan ini dibandingkan dengan negara lain di rantau ini, khususnya yang tidak sehebat Malaysia dari segala segi pembangunan prasarana.
Antara kelemahan yang paling petaka ialah pembaziran masa. Dengan ini, dilaporkan bahawa daripada jumlah waktu kehadiran pelajar di sekolah selama 12.5 tahun, anak bangsa kita memperoleh pelajaran sebanyak 8.9 tahun sahaja.
Dalam hal ini, berlaku kehilangan 3.6 tahun yang didapati amat besar kadarnya. Ia melebihi dua kali ganda apabila dibandingkan dengan pembaziran yang berlaku di Vietnam dan tiga kali ganda dengan yang di Singapura.
Pembaziran waktu yang tinggi ini antaranya didapati disebabkan oleh kurangnya dan sering kali juga oleh tiadanya kesediaan pada guru. Ia persiapan daripada guru untuk melaksanakan amalan pendidikan tertentu, selain memenuhi keperluan pelajar ketika proses pengajaran-pembelajaran.
Dengan kata lain, secara umumnya guru di Malaysia didapati tiada kecekapan pedagogi dan profesional pada diri mereka untuk menjayakan sistem pendidikan negara.
Ketiadaan kecekapan ini antaranya adalah kerana secara umumnya guru kita tidak sanggup meluangkan masa yang kekadangnya banyak, untuk merancang bagi melaksanakan pelajaran yang berkesan. Sebenarnya dengan adanya rancangan ini, ia akan menyediakan pelajaran yang menarik sifatnya, selain yang betul-betul selari dengan sukatan pelajaran khasnya dan kurikulum amnya.
Sesungguhnya persediaan oleh guru amat penting sekali. Ini kerana kesediaan guru dan yang baik pula bermakna guru bersikap proaktif. Dengan ini, guru bukan sahaja dapat mengawal, juga mampu mewujudkan pelbagai keadaan dalam kelas dan tidak bertindak sebagai memberi reaksi semata-mata.
Sebenarnya sikap proaktif inilah yang akan menentukan perlengkapan guru menghadapi apa-apa jua cabaran yang bakal timbul semasa mengajar.
Dalam pada ini, pengurusan kelas akan menjadi lebih baik bagi memupuk persekitaran pendidikan yang kondusif.
Pembaziran masa didapati juga wujud dalam bentuk ketidakhadiran guru di dalam kelas. Dengan ini, ia bermakna kegagalan guru memasuki kelas tepat pada masanya, sama ada selalu lewat, apatah lagi langsung tidak memasukinya untuk mengajar secara kerap.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia masalah besar. Ini kerana ia bukan sahaja akan menyebabkan kemerosotan mutu pendidikan, selain tidak memberi galakan positif kepada pelajar untuk belajar. Ia juga akan menimbulkan pelbagai masalah serius, antaranya kelakuan tidak berdisiplin dalam kelas.
Walaupun bukan semua guru kita mencuri tulang dalam dua jenis pembaziran ini, ia tidak dapat dinafikan berleluasa. Ini kerana agregatnya telah menjejaskan bukan sahaja mutu pendidikan kita. Ia juga mengesani prestasi kita yang semakin corot kedudukannya di peringkat rantauan dalam beberapa penilaian.
Sehubungan ini, semua guru hendaklah sama-sama sedar untuk semua sekali insaf akan pembaziran ini bagi betul-betul memperbaikinya.
PEDAGOGI
Untuk isu kesediaan guru, kecekapan pedagogi dan profesional yang diperoleh semasa menjalani latihan perguruan itu hendaklah diamalkan pada setaip masa. Ia antaranya hendaklah dilakukan dengan guru menyediakan rancangan mengajar setiap kali mereka mengajar. Sebenarnya rancangan ini bukan sahaja setakat susunan langkah pengajaran yang harus diikuti guru, juga ia alat penting untuk guru benar-benar memahami pelajaran yang hendak disampaikan itu, selain betul-betul menyusun perjalanan pelajaran itu agar berkesan sekali proses pengajaran dan pembelajarannya.
Isu ketidakhadiran guru hendaklah dielakkan sama sekali. Ini kerana pencapaian akademik pelajar pasti akan terjejas akibat terlepas, malah hilangnya pengajaran penting oleh guru subjek sendiri, walaupun ada guru pengganti.
Dalam hal ini, ia akan menjejaskan pemahaman pelajar terhadap sesuatu perkara itu yang kemudiannya akan pula memberi kesan kepada prestasi dalam tugasan dan peperiksaan mereka.
Sesungguhnya mengajar adalah profesion yang tidak mudah. Ia amat mencabar sekali. Ini kerana tanggungjawab guru adalah amat berat.
Sehubungan ini, guru hendaklah pada setiap masa mencari jalan terbaik untuk memberi pengalaman belajar yang penuh dengan kecerdasan dan rangsangan.
Dengan keinsafan akan tanggungjawab berat ini, semua guru wajib memberi perhatian serius terhadap isu pembaziran masa itu.
Untuk ini, guru hendaklah selalu memasuki kelas untuk mengajar bagi mengelakkan kehilangan pelajaran, selain menyediakan rancangan mengajar yang rapi untuk setiap pelajaran itu.
Semua ini amat penting untuk pelajar memperoleh hasilan optimum.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










