PETALING JAYA: Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy meraih pingat gangsa bagi acara 400 meter (m) di Kejohanan Pure Athletics Sprint Elit di Florida, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Shereen yang mewakili kelab Life Speed menamatkan perlumbaan dengan catatan 52.50 saat (s) manakala emas dimenangi Leah Anderson dari Atlanta selepas merekodkan 51.22s.
Namun catatannya masih belum membolehkan dia layak bertanding ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini.
Perak dimenangi Kaylin Whitney selepas menamatkan larian di tempat ketiga dengan catatan 52.49s.
Catatan masa yang dilakukan oleh atlet berusia 25 tahun itu masih jauh daripada rekod kebangsaan miliknya 51.80s dan dia perlu bekerja lebih keras untuk berada di bawah 50.95s, had kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.
Shereen masih berpeluang untuk menempah tiket ke Paris secara merit apabila dia dijadual menyertai Kejohanan Music City Track Carnival di Tennessee pada 31 Mei ini.
Shereen merupakan pemenang gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022 dan kini berpangkalan di Amerika Syarikat. – UTUSAN









