Sentimen perkauman perosak perpaduan

Sentimen perkauman perosak perpaduan

PANDANG perpaduan di negara ini melalui kaca mata bangsa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI kambing dikuliti hidup-hidup, begitulah rasanya apabila melihat ikatan perpaduan yang terbina puluhan tahun di negara ini semakin punah. Sangat menyedihkan apabila melihat sentimen perkauman semakin banyak dimainkan di pelantar media sosial.

Trend baharu yang semakin berleluasa ialah perbuatan merendah-rendahkan kaum tertentu dengan melabelkan type M, type C dan type I. Perbuatan tidak bermoral ini mengingatkan kita bagaimana orang Afrika di Amerika Syarikat (AS) pada suatu ketika dahulu dilabelkan sebagai Kunta Kinte, ekoran daripada nama seorang watak orang Afrika dalam novel Roots (1976).

Ketika dunia bergerak pantas, cuba mencapai pembangunan dan kemajuan yang lebih baik serta mencari kehidupan yang seimbang dan harmoni dengan menggunakan akal fikiran dalam mencari jalan penyelesaian terbaik. Di Malaysia, lain pula halnya. Pemikiran sesetengah pihak bagaikan mengundur ke belakang.

Suatu ketika dahulu, pihak British yang memecah-belahkan penduduk Tanah Melayu dengan dasar pecah dan perintahnya demi kepentingan politik dan ekonomi. Melalui dasar tersebut, mereka berjaya mengasingkan kaum utama mengikut petempatan dan pekerjaan supaya mereka ini tidak bersatu untuk bangkit menentang mereka.

Di kala ini pula, rakyat Malaysia sendiri yang menjadi dalangnya. Kata-kata kesat, kecaman dan cacian dilontarkan tanpa berfikir panjang akan kesannya terhadap hubungan antara kaum di negara ini.

Hakikatnya, setiap kaum di negara ini kaya dengan warisan budaya dan adat resam yang dibentuk mengikut agama dan kepercayaannya. Sejak kecil lagi, dipupuk dengan nilai-nilai murni untuk melahirkan insan-insan berakhlak mulia dan beradab tinggi. Dalam semua masyarakat tidak kira apa jua agama atau kepercayaan, hormat menghormati dan menjaga adab bercakap sangat ditekankan dan diberi keutamaan.

Dalam Islam, umatnya diajar untuk bersifat rahmah sesama manusia dan perbuatan merendah-rendahkan orang lain dilarang sama sekali. Jika ada sebarang teguran sekalipun, ia perlulah disampaikan menggunakan kata-kata yang sesuai.

Dalam Thirukural, karya falsafah yang menjadi panduan masyarakat Tamil, disebut bahawa penuturan kata-kata kasar dan tidak bermoral seakan-akan memakan buah yang mentah, walaupun ada buah yang ranum dan lebih manis.

Begitu juga ajaran Confucius yang mengutamakan tentang soal hormat-menghormati.

Dalam buku ajaran Confucius, iaitu Analek, disebut, jangan melakukan sebarang perbuatan terhadap orang lain, jika kamu sendiri tidak menginginkan perbuatan yang serupa daripada mereka.

Amat menyedihkan sekali sikap hormat menghormati dan berbudi pekerti yang selama ini menjadi pegangan kita semakin terhakis. Apatah lagi, Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang harmoni dan sejahtera, walaupun didiami oleh banyak kaum dan etnik yang mempunyai pegangan agama dan kepercayaan, bahasa, budaya serta cara hidup yang berbeza. Perpaduan dan hubungan antara kaum kekal utuh menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik.

Saban tahun, berduyun-duyun pelancong masuk ke Malaysia kerana mahu melihat kediversitian di negara ini dengan mata sendiri. Jangan disebabkan sikap segelintir mereka ini, Malaysia mendapat nama buruk di mata dunia serta dilabelkan sebagai negara yang rasis.

Timbul berbagai tanda tanya terhadap sentimen perkauman yang makin berapi-api. Adakah perpaduan di negara ini akan terus dirobek oleh pihak yang tidak bertanggungjawab? Sampai bilakah keadaan ini akan berpanjangan? Adakah perbuatan ini disengajakan untuk kepentingan orang-orang tertentu? Kita tidak tahu. Tetapi yang pastinya jika tidak dibendung awal, natijahnya amatlah buruk kemudian hari.

TANGANI ISU
Waima, kerajaan Madani melaksanakan banyak usaha untuk mengekang penularan sentimen perkauman. Tetapi nampaknya usaha-usaha tersebut tidak mencukupi. Kerajaan Madani perlu mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan pantas. Jika tidak, kerajaan ini akan dipersalahkan bulat-bulat disebabkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam hal ini, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Komunikasi, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Dalam Negeri dan sebagainya perlu menggembleng usaha yang lebih besar bagi menangani isu ini.

Apa yang pasti perpaduan itu bukanlah sesuatu yang kekal. Boleh berubah sekelip mata, jika ada pencetusnya. Seperti pucuk ru, ke bawah tidak berurat, ditengah-tengah dilarik kumbang.

Maka, kita sebagai warganegara Malaysia perlu bekerjasama untuk memastikan keharmonian terus terjamin dengan mengeratkan perpaduan sesama kita. Berbaliklah kita kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Hayati setiap intipati yang terkandung di dalamnya.

Bermuhasabahlah kita bersama-sama. Jangan lihat kaum-kaum yang ada di negara ini dengan pandangan yang serong. Cubalah lihat melalui kaca mata bangsa Malaysia.

Suburkan diri dengan jati diri yang tinggi dan terapkan nilai hormat menghormati dalam diri kita. Nescaya, kebersamaan kita sebagai bangsa Malaysia menjamin perpaduan dan keharmonian yang lebih menguntungkan.-UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ipoh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN