KUALA LUMPUR: Penampilan Seksan Tubthong dalam beregu Thailand di pentas Piala Dunia Sepak Takraw 2024 tidak memberikan kesan besar kepada Malaysia yang diketuai Aidil Aiman Zawawi.
Menurut Aidil, beliau bersama Noraizat Nordin akan melakukan apa sahaja sekiranya bertembung dengan Thailand yang diketuai Seksan di pentas final dan kehadiran pemain berumur 38 tahun itu juga tidak akan memberi masalah besar.
“Bagi saya itu (penampilan Seksan bersama skuad beregu Thailand) tidak ada apa-apa masalah untuk lawan Seksan, kami akan cuba keluarkan apa yang kami ada dalam gelanggang nanti,” kata Aidil Aiman kepada pemberita.
Sebelum ini, Seksan merupakan perunding khas yang dibawa masuk Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk memantau perkembangan beregu Malaysia khusus untuk menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw.
Bagaimanapun, selepas tidak sampai tempoh tiga bulan perkhidmatannya, Thailand membuat kejutan apabila memanggil semula Seksan untuk berada skuad baharu Gajah Perang untuk beraksi di pentas Piala Dunia di Stadium Titiwangsa.
Untuk rekod, Aidil Aiman dan Noraizat pernah bertemu dengan Seksan bersama gandingannya, Kittiphum Sareebut pada 7 April lalu dalam saingan Piala Puteri Diraja Thailand Ke-35 yang menyaksikan pemain negara itu tewas 15-8, 15-13.
Mengulas lanjut, Aidil Aiman berkata, gandinganya bersama Noraizat atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Ijat Bangau’ sudah bertambah baik kerana skuad negara melakukan persiapan rapi bagi mendepani cabaran hebat di kejohanan ini.
Ditanya pilihan sama ada mahu berdepan Indonesia atau Myanmar di peringkat separuh akhir, Aidil Aiman berkata, skuad negara lebih suka untuk berdepan dengan Myanmar berbanding Indonesia di peringkat empat pasukan terakhir itu.
“Bagi saya elok lawan Myanmar kerana Noraizat mempunyai kelebihan untuk menghadang rejaman apit kanan Myanmar. Dengan Indonesia pula kita ada rekod kurang baik berdepan mereka (tewas di final Sukan SEA Kemboja 2023),” katanya. – UTUSAN










