PETALING JAYA: “Saya risaukan keselamatan keluarga saya itu yang menjadi keutamaan”.
Itulah luahan pertahanan Selangor FC (SFC), Khuzaimi Piee ketika ditanya apa yang menjadi kebimbangan dia selepas rumahnya di Shah Alam di pecah masuk oleh individu tidak dikenali di Shah Alam.
Katanya, dia kini mengambil langkah berjaga-jaga selepas alamat tempat tinggal ahli keluarga terdedah berikutan beberapa dokumen penting seperti pasport hilang.
Dia yang juga bekas pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) memaklumkan ketika kejadian rumahnya tidak berpenghuni memandangkan isteri dan anaknya ketika ini menetap di Melaka.
“Saya tinggal seorang saja dekat sini (Shah Alam). Anak dan isteri semuanya berada di Melaka dan Alhamdulillah ketika kejadian tiada orang di rumah.
“Kejadian seperti ini seumur hidup saya ia tidak pernah terjadi, ini kali pertama saya kena…trauma memang trauma sebab sekarang ini saya banyak fikir tentang keluarga.
“Sebab dalam pasport dan beberapa dokumen penting yang hilang itu ada alamat kami menetap, lepas itu dalam itu semua maklumat (peribadi) tentang anak, isteri semua ada…sekarang ini fikirkan tentang mereka sahaja.
“Macam barang lain hilang dan apa jadi dekat rumah saya sudah tidak fikirkan sangat, hanya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk buat siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan rumah pemain itu dipecah masuk individu tidak dikenali dengan terdapat barang-barang berharga hilang antaranya sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, beg silang pelbagai jenama beserta pasport.
Ketika ditanya adakah sebelum kejadian ada menerima sebarang panggilan atau mesej daripada individu tertentu, Khuzaimi menegaskan tiada cuma mengakui berada tidak sedap hati.
Jelasnya, Selangor FC juga telah ambil maklum mengenai kejadian ini dan akan membantu Khuzaimi apa sahaja yang diperlukan.
“Langsung tiada apa-apa panggilan atau sebagainya. Cuma waktu di padang selepas habis latihan saya ada buat panggilan dengan kawan dan saya beritahu dia ‘aku rasa macam malas nak balik rumah’ dan masa berada di kedai makan mak telefon cakap tidak sedap hati dekat saya.
“Kelab sudah tahu tentang perkara ini dan akan bagi maklum balas dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Dalam masa sama, Khuzaimi mendakwa turut hairan dengan tindakan pengawal keselamatan yang menjaga kawasan perumahan itu melepaskan individu masuk sesuka hati tanpa meminta pengenalan diri.
“Setahu saya sesiapa sahaja akan masuk ke dalam kawasan perumahan ini akan diminta mendaftar diri dan nombor kenderaan direkodkan tetapi saya tidak tahu, saya akan berbincang dengan peguam untuk langkah seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN










