KUALA LUMPUR: Bekas tekong berbisa Thailand, Rattadech Noijaroen percaya rakyat Thailand tidak akan dapat menerima kenyataan apabila skuad beregu dan regu mereka tumbang di tangan Malaysia pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Rattadech berkata, beliau tidak boleh memberi banyak komen kerana sepak takraw Thailand ketika sedang dalam proses pembaharuan dengan pelantikan jurulatih baharu, namun beliau percaya skuad Gajah Perang itu akan bangkit.
“Tidak…Tidak, (rakyat Thailand tidak boleh terima kenyataan bila kalah kepada Malaysia), sekarang dalam pembaharuan, jurulatih baharu. Tetapi, bagi saya kalah dan menang dalam sukan itu perkara biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Malaysia melakar kejutan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila meraih kejuaraan berganda dalam acara beregu dan regu selepas berjaya menumbangkan Thailand di pentas final, kelmarin.
Menurut Rattadech, kehadiran penyokong yang ramai di Stadium Titiwangsa telah membuatkan pemain Thailand tertekan sehingga membuat beberapa kesilapan yang menghadiahkan mata-mata mudah kepada Malaysia.
Tekong kidal itu berkata, pemain Malaysia khususnya, Azalan Alias juga memainkan peranan besar dalam aksi final regu kerana perejam itu berjaya melakukan hadangan pada saat-saat genting ketika Thailand cuba bangkit.
“Penyokong berikan tekanan kepada pemain Thailand, sangat luar biasa sambutan di sini. Kalau anda lihat, Malaysia juga bermain baik, tiada kesilapan. Azlan main peranan besar dengan hadangan-hadangan menarik.
“Skuad Thailand hadir ke sini dengan persiapan hanya sebulan, saya jangka pertembungan lebih menarik di Piala Raja Thai pada September ini dan Thailand pastinya akan bangkit untuk menebus maruah di laman sendiri,” katanya. – UTUSAN










