Saya sendiri lihat kawan diceraikan suami semasa hamil - Iman Troye - Utusan Malaysia

Saya sendiri lihat kawan diceraikan suami semasa hamil – Iman Troye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN berjaya menjana hasil pendapatan sehingga RM2.5 juta sepanjang tahun lalu, penyanyi Iman Troye atau Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 24, mengakui ada harga yang perlu dibayar untuk kejayaan itu. Kesibukan yang dilaluinya memberi risiko kepada kesihatannya apabila dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan lantaran tidak mempunyai waktu rehat selama beberapa bulan.

Bercerita lanjut, penyanyi Nang itu berbincang dengan pihak pengurusan XO House untuk memberikan cuti selama sebulan agar gadis muda itu dapat berehat dan bertenang daripada kesibukan jadual dan aktiviti nyanyian atas nasihat doktor.

“Saya masih datang ke pejabat pengurusan XO House untuk buat persiapan dan kerja-kerja lain cuma saya tidak ambil banyak tawaran nyanyian serta kurangkan keluar serta ‘endorsement’ sementara waktu. 

“Bila saya dapat masa untuk diri sendiri sepanjang sebulan itu, saya mula sedar banyak lagi benda yang saya belum teroka pada umur 24 tahun. Selama ini banyak masa saya dihabiskan dengan bekerja.

“Pihak pengurusan tidak tanya saya apa-apa selama sebulan ini dan masa itulah yang saya gunakan untuk diri sendiri. Saya keluar jumpa kawan, pergi kafe dan buat perkara yang saya suka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengenang dia belum cukup untuk mengenali diri dan menjalani masa muda, Iman berkata hatinya belum terbuka lagi untuk memikirkan tentang perkahwinan. Hubungan lalu yang kandas hanya menjadi sebahagian daripada pengalaman hidupnya.

“Saya anggap semuanya sebagai berkawan seperti biasa. Kalau ada jodoh, ada. Kalau tak ada jodoh, maksudnya memang tak boleh diteruskan. Mungkin ada sesuatu yang lebih baik di hadapan.

“Saya percaya dengan ketentuan Allah dan saya pun tak terlalu fikir tentang perkara itu. Benda ini antara perkara terakhir yang saya akan fikir. Perkara pertama yang saya kena fikir ialah kejayaan saya dahulu.

“Buat masa sekarang, target saya masih 30 tahun. Sebelum ini target saya selalu berubah. Ada masa saya rasa mungkin boleh berkahwin lebih awal, tetapi lama-lama saya fikir, rasanya 30 tahun masih sesuai,” katanya.

Tidak terlalu terburu memikirkan soal pasangan, Iman juga mengakui perkahwinan adalah perkara besar dan tidak semua wanita bersedia melalui fasa tersebut.

“Saya sedar masih banyak perkara yang saya belum buat selain bekerja. Sebab itu saya rasa kalau nak berkahwin dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, saya takut sebab  belum bersedia.

“Bukan sebab susah untuk mencari lelaki yang sempurna. Saya rasa semua lelaki itu sempurna, cuma kesempurnaan itu dilihat secara berbeza oleh setiap orang. Mungkin saya akan jumpa orang yang tepat pada masa yang tepat.

“Saya percaya kalau saya seorang yang baik, saya akan jumpa orang yang baik. Untuk saya jumpa lelaki yang baik, saya sendiri kena jadi orang yang baik,” katanya yang enggan memiliki jejaka yang bekerja dalam industri hiburan sebagai pasangan hidup. 

Bukan itu sahaja, pengalaman lalu melihat rakan terdekat melalui fasa berkahwinan yang mengerikan membuatkan Iman berhati-hati dalam menilai calon pasangan.

“Beberapa kawan saya pernah bercerai atau ditinggalkan ketika sedang hamil. Saya sendiri pernah bawa mereka balik ke rumah dan bantu ambil barang-barang mereka. Jadi saya dapat lihat sendiri keadaan itu.

“Dunia dulu dan sekarang berbeza. Kita tak boleh tahu isi hati seseorang kerana manusia boleh berubah. Sebab itulah saya rasa perkara seperti perkahwinan memerlukan masa. Saya tak boleh terlalu memaksa keadaan.

“Saya kena tengok apa yang ada di depan kerana Allah itu susunannya cantik. Sebab itu saya selalu ingatkan diri sendiri, tak apa kalau sunyi, tak apa kalau sedih dan bersendirian,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×