IPOH: Meskipun melakar kemenangan 3-2 ke atas New Zealand pada aksi persahabatan, pengendali skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama berkaitan kecergasan permainan.
Jelas terlihat perbezaan daripada segi kecergasan anak buahnya dengan pasukan New Zealand tetapi secara keseluruhan Sarjit memuji komitmen ditunjukkan pemain pada perlawanan berkenaan.
“Kami perlukan lebih masa terutama mengenai kecergasan, itu yang merisaukan saya kerana kita masih belum ke arah itu tetapi segalanya okey.
“Paling penting komitmen yang diberikan oleh semua pemain di sini. Saya daripada awal katakan kita punya perancangan adalah jangka masa panjang.
“Bagi saya New Zealand mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi mereka gagal menyempurnakannya tapi kita memiliki empat peluang dan memperolehi tiga gol.
“Kita mendapat lima pukulan sudut penalti dan menjaringkan satu gol tetapi saya rasa mereka masih tidak menunjukkan prestasi sebenar tetapi apa yang bagusnya tempo permainan cukup tinggi, ia sangat baik untuk pasukan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan itu.
Kemenangan ini menjadi tonik dan motivasi terbaik untuk pemain-pemain sebelum kempen Piala Sultan Azlan Shah membuka tirai pada Sabtu ini.
Dalam masa sama, beliau mengakui pasukan kebangsaan memerlukan lebih banyak permainan berintensiti tinggi seperti ini pada masa akan datang.
“Kita perlukan lebih banyak perlawanan tempo tinggi seperti ini bagi meningkatkan kekuatan pasukan,” ujarnya.
Semalam, Malaysia mengatur satu lagi aksi persahabatan menentang Korea Selatan bagi menguji keupayaan pemain dan selepas perlawanan itu 18 pemain diumumkan untuk membawa cabaran negara di PSAS 2024.
Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali Pakistan pada 4 Mei, diikuti aksi menentang Kanada (5 Mei), juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).
Berdasarkan format kejohanan yang telah memasuki edisi ke-30, dua pasukan teratas liga sepusingan akan mencabar untuk kejuaraan, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga. – UTUSAN










