Peratusan keluar mengundi tinggi menanglah PH!

Peratusan keluar mengundi tinggi menanglah PH!

KUALA KUBU BAHARU
PANG SOCK TAO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

MUKADIMAH

KEKALKAN Kuala Kubu Baharu. Berulang kali mesej itu disampaikan oleh calon kerajaan perpaduan dan Pakatan Harapan (PH), PANG SOCK TAO setiap kali bertemu pengundi dan media sepanjang tempoh dua minggu berkempen.

Calon Perikatan Nasional (PN), KHAIRUL AZHARI SAUT pula membawa mesej bahawa penduduk Kuala Kubu Baharu perlu bangkit kerana percaya pengundi mahukan perubahan.

Dua mesej yang berbeza namun salah satu mesej ini akan menjadi penentu dan dipilih oleh majoriti pengundi.

Ikuti keyakinan tinggi kedua-dua calon ini kepada wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN menjelang tiga hari Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

 

UTUSAN: Sasaran kempen PRK adakah lebih fokus tarik pengundi Melayu atau Cina?

SOCK TAO : Sasaran kerajaan perpaduan ataupun matlamat kami adalah untuk memenangkan kerusi ini. Kita cuba dekati sebanyak mungkin pengundi dengan masa dan tempoh yang ada. Kita tak nak letak satu sasaran bahawa kita nak tarik undi berapa untuk Melayu, Cina, India atau Orang Asli sahaja. Yang pentingnya kita menangkan kerusi ini dengan kerja dan kesepakatan. Matlamat kita mudah, kekalkan Kuala Kubu Baharu.

 

Adakah pengundi Cina akan kekal mengundi PH?

Penerimaan pengundi Cina agak baik, cuma kita risau peratusan keluar mengundi tidak menggalakkan dan kita ingin menyeru kepada pengundi terutamanya yang tidak lagi duduk di Kuala Kubu Baharu untuk balik ke kampung, pilih calon yang boleh membawa pembangunan dan boleh berkhidmat kepada orang tempatan. 

Walaupun pengundi mungkin tidak duduk di kampung tapi adalah tanggungjawab mereka untuk menunaikan tanggungjawab untuk memilih. Pilih calon yang paling tepat adalah tanggungjawab terhadap kampung sendiri.

 

Ada yang berkempen menyebarkan sentimen, tohmahan dan sebagainya?

Dalam persaingan pilihan raya, sudah tentu akan ada fitnah ataupun tohmahan yang tidak benar dan apa yang kita boleh lakukan hanya untuk menyampaikan mesej utama kempen iaitu membangunkan pembangunan dan merancak ekonomi tempatan serta membantu rakyat untuk menjana pendapatan berteraskan eko pelancongan.

 

Bagaimana kerjasama UMNO dan BN dalam PRK ini?

Setinggi-tinggi penghargaan untuk jentera dan juga pimpinan BN yang telah menunjukkan komitmen yang amat tinggi untuk turun berkempen bersama Kerajaan Perpaduan dan saya yakin dengan semangat perpaduan yang ada, kita mampu kekalkan Kuala Kubu Baharu. 

 

Calon PN persoal prestasi PH di DUN Kuala Kubu Baharu setelah menyandang sejak 2013?

Menurut maklum balas yang saya terima daripada penduduk setempat, mereka puji perkhidmatan mendiang Lee Kee Hiong. Ia juga hasil kerja keras dan pencapaian pasukan pejabat DUN sedia ada dan saya percaya dengan bergerak sebagai satu pasukan, walaupun saya calon baharu, kita mampu menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada warga Kuala Kubu Baharu. Track rekod PH di sini juga agak baik dan jika diberi peluang saya ingin meneruskan legasi Kee Hiong untuk bekerja keras dan rajin memberi perkhidmatan yang baik kepada warga Kuala Kubu Baharu.

 

Terkesan dengan serangan peribadi?

Bagi saya penyokong ataupun pihak lawan, kita kena berkempen secara berhemah, sebab itulah mungkin ramai anak muda tidak suka politik sebab politik ada fitnah dari parti lain dan begitu juga mungkin ada fitnah daripada penyokong sendiri.

Semua pihak perlu bertenang dan fokus pada mesej yang nak disampaikan. Fokus pada isu rakyat dan saya sendiri ingin menjadi teladan kepada semua orang untuk mengawal diri. Jangan melakukan fitnah terhadap orang lain sebab saya sendiri menjadi mangsa kepada serangan peribadi yang kita tak suka. Kita jangan lakukan kepada orang lainlah.

Jangan terlampau berTikTok sebab mesej-mesej di media sosial tidak boleh dikawal dan ada kebebasan untuk bercakap apa jua perkara.

 

Jika menang, apa isu tempatan di Kuala Kubu Baharu yang akan ditangani segera?

Saya akan mendengar pendapat penduduk. Saya akan bekerja rapat dengan kerajaan tempatan mahupun kerajaan negeri untuk membangunkan kemudahan awam. Sebagai contoh, meningkatkan lagi tapak-tapak rekreasi untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat, isu lampu jalan dan isu liputan Internet yang perlu diperbaiki. Itu adalah keinginan warga Kuala Kubu Baharu.

 

Peluang PH dalam PRK ini?

Selepas lebih seminggu berkempen, saya yakin bahawa Kerajaan Perpaduan mampu kekalkan Kuala Kubu Baharu, namun kita memerlukan peratusan keluar mengundi yang tinggi supaya kemenangan berpihak kepada PH dan juga Kerajaan Perpaduan. Saya menyeru kepada semua pengundi turun mengundi sokong PH untuk menentukan arah pembangunan Kuala Kubu Baharu.

 

Mengapa begitu yakin dapat kekalkan Kuala Kubu Baharu?

Saya amat berterima kasih kepada semua pimpinan dan juga akar umbi DAP yang telah menunjukkan kerjasama rapat, komitmen yang tinggi dan saya rasa itu amat penting untuk menonjolkan PH khususnya DAP sebagai parti yang bersatu untuk mencapai matlamat bersama. Jika diberi peluang, saya akan bekerjasama rapat dengan pasukan sedia ada bagi memastikan mutu perkhidmatan sedia ada tidak akan turun bahkan akan dinaikkan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN