MUNICH: Vincent Kompany dipilih sebagai jurulatih baharu Bayern Munich namun segala butiran kontrak masih belum dimuktamadkan, kata ahli lembaga, Karl Heinz Rummenigge.
Menurut tabloid Jerman, Bild dan akhbar Inggeris, The Guardian, jurulatih berusia 38 tahun itu sudah mencapai persetujuan Bersama Bayern meskipun Burnley menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga kedua tercorot musim lalu.
Rummenigge memberitahu Sky Italia bahawa beberapa butiran perlu diselesaikan sebelum membawa masuk pengurus Burnley itu.
“Pengarah sukan kami memilih Kompany bagaimanapun ia masih belum rasmi, ada beberapa butiran perlu diselesaikan,” kata Rummenigge.
Rummenigge berkata, pengendali Manchester City, Pep Guardiola telah membantu mereka dalam membuat pilihan untuk mencari jurulatih baharu.
“Dia banyak membantu kami. Mereka pernah bekerjasama Ketika Vincent menjadi kapten di City dan dia sentiasa mendapatkan nasihat daripada Guardiola ketika di Burnley,” kata Rummenigge.
Bayern bersetuju melepaskan jurulatihnya, Thomas Tuchel Februari lalu selepas gagal mempertahankan kejuaraan Bundesliga yang dimenangi Bayer Leverkusen.
Kompany mempunyai pengalaman beraksi di Bundesliga ketika bersama Hamburg sebelum menyertai City dan mula membimbing Burnley pada Julai 2022 berjaya membawa kelab itu ke EPL selepas memenangi Liga Kejuaraan pada 2022-2023.
Sebelum ini, jurulatih Leverkusen, Xabi Alonso, bos Jerman, Julian Nagelsmann dan pengurus Austria, Ralf Rangnick pernah ditawarkan jawatan yang sama sebelum sebelum kesemuanya menolak. – AFP/UTUSAN










