PETALING JAYA: Selepas menjalani pembedahan kedua, penyerang Selangor FC, Faisal Halim mula menunjukkan perkembangan positif malah dijangka kembali beraksi dalam tempoh enam bulan sekali gus menyangkal dakwaan karier bola sepaknya telah berakhir.
Keyakinan itu disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (Selangor FC), Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah melawat Faisal.
Berkongsi keadaan terkini Faisal, Shahril berkata, pemain itu sudah boleh makan, malah sudah mula teruja untuk bangun daripada katil bagi melakukan latihan ringan bola sepak.
“Pembedahan kedua berlangsung malam tadi selama tiga jam dan hasil yang dimaklumkan oleh pakar amat positif. Ketika melawat bersama Tengku Amir, Faisal sudah boleh makan tetapi makanan lembut sahaja.
“Saya yakin apa yang saya lihat hari ini, apa yang dimaklumkan oleh doktor, Faisal akan pulih namun harus diingatkan trauma yang beliau lalui bukan mudah.
“Salah satu aspek rawatan yang diberikan adalah psikologi. Sekurang-kurangnya enam bulan untuk beliau kembali walaupun bukan sepenuhnya tetapi setidak-tidaknya beliau sudah boleh mula melakukan sesuatu.
“Saya tidak boleh jamin, hanya Allah sahaja. Faisal orangnya kecil tetapi semangatnya cukup besar. Itu kelebihan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Faisal mengalami kecederaan lecur tahap empat selepas disimbah asid pada Ahad lalu masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi mengelak sebarang jangkitan.
“Kita bercakap tentang asid dan beliau diletakkan dalam ICU. Tiada sesiapa dibenarkan melawatnya. Saya dan Tengku Amir pun melihatnya dari jauh kerana tidak boleh masuk, bimbang dengan jangkitan.
“Tengku Amir memberi kata-kata semangat kepada beliau dan kami, pemain serta pegawai semuanya di belakang Faisal,” katanya. – UTUSAN










