Mandi wajib ibadat disyariatkan dan dimestikan kepada seseorang apabila dia sudah berhadas besar, iaitu setelah melaksanakan hubungan badan atau setelah darah haid dan darah nifas seseorang wanita sudah berhenti.
Pelbagai perbuatan sunat diajarkan Nabi SAW semasa seseorang melaksanakan mandi wajib agar dia memperolehi tambahan pahala, di samping mendapat pahala melaksanakan perbuatan wajib.
Antara perbuatan yang dituntut setelah seseorang selesai mandi wajib adalah tidak mengelap tubuhnya sebaliknya membiarkan tubuhnya kering sendiri.
Daripada (Saidina Abdullah Abbas, beliau berkata: (Saidatina) Maymunah menceritakan kepada kami, beliau berkata: “Saya menuangkan air untuk Nabi SAW bagi kegunaan mandi. Maka baginda telah menuangkan (air tersebut) dengan menggunakan (tapak) tangan kanan baginda ke atas (tapak) tangan kiri baginda lalu baginda membasuh kedua-dua belah tangan baginda. Kemudian baginda membasuh kemaluan baginda. Kemudian baginda telah melakukan ke atas tanah dengan (tapak) tangan (kiri) baginda. Maka baginda telah menyapu (tapak) tangan (kiri) baginda ke tanah.
Kemudian baginda membasuh (tapak) tangan baginda. Kemudian baginda telah berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Kemudian baginda membasuh wajah baginda dan baginda menuangkan (air) ke atas kepala baginda. Kemudian baginda beralih (ke tempat yang lain) lalu baginda pun telah membasuh kedua-dua belah kaki baginda dari hujung jari sehingga ke buku lali.
Kemudian baginda telah didatangkan dengan kain pengelap namun baginda tidak menghilangkan (kebasahan yang ada pada tubuh baginda) dengan kain pengelap tersebut.” (riwayat Bukhari) Saidatina Maymunah menerusi hadis ini menceritakan Nabi SAW ketika ingin mandi junub telah menceduk air tersebut dengan tapak tangan kanan baginda lalu baginda menuangkan air tersebut ke tapak tangan kiri baginda lantas baginda membasuh kedua-dua belah tapak tangan baginda dengan air tersebut.
Baginda membasuh pula kemaluan baginda, selepas itu menyental tangan baginda ke tanah. Setelah itu baginda membasuh tangan kiri bagi menghilangkan kesan-kesan tanah yang melekat. Selepas itu baginda mula berwuduk.
Baginda semasa berwuduk telah berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Kemudian membasuh wajah baginda. Setelah selesai berwuduk, baginda pun mula mandi junub dengan menuangkan air ke atas kepala.
Setelah Nabi SAW selesai membasuh seluruh jasad, baginda beralih dari tempat baginda berdiri ke tempat yang lain yang berhampiran lalu membasuh pula kedua-dua kaki dari hujung jari kaki hingga ke buku lali.
Selesai mandi junub, baginda diberi kain pengelap untuk mengeringkan air yang ada pada jasad baginda. Walau bagaimanapun baginda tidak pula mengesat basahan yang ada pada jasad baginda dengan kain tersebut.
Berkumur-Kumur Adalah Sunat
Imam al-Bukhari menjadikan hadis ini berada di bawah tajuk: Bab (Yang Membincangkan Tentang) Berkumur-Kumur Dan Memasukkan Air Ke Dalam Hidung Semasa (Mandi) Junub.
Menurut para ulama: Imam al-Bukhari sebenarnya ingin menyatakan melalui tajuk ini bahawa berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung bukanlah perbuatan wajib semasa mandi junub.
Ini kerana Imam al-Bukhari pada tajuk yang seterusnya iaitu Bab (Yang Membincangkan Tentang) Menyapu Tangan Pada Tanah Supaya Tangan Lebih Bersih telah mendatangkan hadis yang turut diriwayatkan oleh Saidatina Maymunah yang mengisahkan perilaku Nabi SAW semasa baginda mandi junub.
Hadis tersebut berbunyi: Daripada (Saidatina) Maymunah bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah mandi junub. Maka (semasa baginda ingin mandi junub), baginda membasuh kemaluan baginda dengan tangan (kiri) baginda. Kemudian baginda menyental tangan (kiri) baginda tersebut ke dinding. Kemudian baginda membasuh tangan baginda. Kemudian baginda berwuduk seperti wuduk (yang dilakukan oleh) baginda untuk (mendirikan) solat. Maka apabila baginda selesai mandi junub, baginda membasuh kedua-dua belah kaki baginda”.
Maka petikan yang berbunyi: ‘Kemudian baginda telah berwuduk seperti wuduk (yang dilakukan oleh) baginda untuk solat’ menunjukkan tindakan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung adalah disebabkan kedua-dua perbuatan ini termasuk di dalam perbuatan dituntut semasa berwuduk. Maka apabila berwuduk tidaklah diwajibkan ke atas orang yang ingin mandi junub secara Ijmak, ini bermakna berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung juga tidaklah diwajibkan semasa mandi junub.
Menurut mazhab al-Syafie sekiranya seseorang yang mandi junub tidak berwuduk sebelum mandi junub bahkan sekiranya dia tidak juga berkumur-kumur dan tidak juga memasukkan air ke dalam hidung semasa mandi junub, mandi junubnya adalah sah. Ini kerana berdasarkan mazhab al-Syafie; berwuduk, berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung bukanlah perbuatan yang diwajibkan semasa mandi junub.
Tidak Mengesat Tubuh
Rasulullah SAW tidak mengesat basahan yang ada pada jasad baginda setelah selesai mandi junub dengan sebarang kain pengelap.
Tindakan ini menjadi hujah di sisi mazhab al-Syafie perbuatan itu adalah tidak disunatkan kerana tindakan mengelap basahan tersebut seakan-akan menunjukkan bahawa orang yang mengelap tersebut tidak suka untuk melihat kesan ibadah berada lama pada jasadnya bahkan seakan-akan dia sebenarnya ingin melepaskan diri daripada suasana ibadat.
Hadis lain yang lain menyatakan bahawa setelah Nabi SAW tidak mengelap basahan yang ada pada jasad selepas baginda mandi junub dengan kain yang diberikan oleh Saidatina Maymunah, Nabi SAW telah menghilangkan basahan pada jasad baginda dengan cara menyisihkan basahan tersebut dengan menggunakan tangan baginda.
Para fuqaha di dalam mazhab al-Syafie, berbincang mengenai hukum seseorang yang menyahkan basahan pada jasadnya selepas berwuduk atau selepas mandi junub dengan menggunakan tangannya.
Pandangan yang terpilih di dalam mazhab al-Syafie adalah orang yang selesai mandi junub atau berwuduk sekiranya tidak ada sebarang keuzuran, maka dia disunatkan tidak menyahkan basahan tersebut dengan tangannya. Yang terbaik adalah membiarkan basahan tersebut kering sendiri.
Adapun tindakan Nabi SAW yang menyisihkan basahan selepas baginda mandi junub dengan tangan baginda, maka sebahagian para fuqaha mazhab al-Syafie berpendapat bahawa baginda hanya ingin menyatakan bahawa tindakan tersebut tidaklah haram.
Ini menunjukkan kadangkala sesuatu hadis secara zahir menunjukkan perbuatan tertentu adalah dituntut dengan alasan Nabi SAW sendiri melakukannya.
Namun para fuqaha mendapati perbuatan tersebut tidaklah disunatkan untuk dilakukan. Maka penting bagi kita merujuk pandangan para fuqaha dalam memahami sesuatu hadis.
Penulis adalah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, UIAM.










