SHAH ALAM: Bintang Harimau Malaya, Faisal Halim menunjukkan perkembangan positif apabila boleh makan dengan sendiri tanpa bantuan selain kelihatan lebih ceria berbanding sebelum ini.
Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, proses rawatan Faisal sudah pun memasuki fasa baharu yang lebih ketat dan pakar bedah juga berpuas hati dengan perkembangan positifnya.
“Kita mengadakan perbincangan dengan pakar bedah pada setiap hari dan kita tengok ‘mood’ Faisal semakin baik. Itu yang kita harapkan kerana ini penanda aras terbaik mengenai tahap psikologinya.
“Apa yang penting adalah dia semakin ceria dan itu bermaksud perkembangan itu sangat positif,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey akan menjalani rawatan ‘skin allograf’ yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000.
Dr. Muhammad Hazwan menjelaskan fokus rawatan kini lebih menjurus untuk mengurangkan komplikasi sekali gus mengelak kecederaannya bertambah teruk.
“Kita boleh katakan yang Faisal sudah memasuki fasa baharu iaitu pembedahan rekonstruktif. Jadi, apabila sudah berada dalam fasa ini, protokolnya lebih ketat contohnya dari segi lawatan.
“Sesi lawatan perlu dihadkan bagi mengurangkan risiko komplikasi, jadi buat sementara waktu kita tidak akan dapat mendengar banyak perkembangan mengenai Faisal tetapi semuanya mengikut seperti mana yang kita rancang,” katanya.
Untuk rekod, pembedahan rekonstruktif adalah prosedur bedah untuk memperbaiki bagian-bagian tubuh yang mengalami kelainan atau mengganggu aktivitas karena bawaan lahir, penyakit, atau kecelakaan. – UTUSAN










