PERJALANAN waktu seolah-olah terus menawar peluang untuk diisi dengan suasana maju, sejahtera dan harmoni. Rugi membiarkan masa berlalu dengan menyaksikan pertelagahan dan percakaran yang tidak berkesudahan. Namun, demikianlah wajah politik Malaysia yang masih kelihatan.
Sepatutnya pihak yang disandar mandat menerajui pemerintahan diberi peluang untuk merencana pembangunan demi kebajikan rakyat dan memajukan negara dengan lancar dan berkesan. Bukan salah sekadar bertindak ‘semak dan imbang’, tetapi jangan sampai mengganggu kestabilan dan terencat tempo pembangunan. Sebarang tindakan biarlah sepadan dan berpatutan. Tegur mana yang kurang, sokong mana yang bersesuaian.
Kononnya sehingga ada percubaan yang diistilahkan sebagai mahu ‘menebuk atap menerjah songsang’. Perlu ada rasa hormat dan beretikalah menelusuri peraturan. Malaysia tetap berdaulat dan berperundangan. Keamanan dan kemakmuran yang sekian lama dinikmati patut disyukuri dan dihargai. Kenapa mudah dinafikan kenyataan bahawa di Malaysia masih terdapat suasana ‘senang tanpa bermusim, susah sama ditangani?’.
Bersyukurlah! masih banyak kemudahan yang dikecapi. Dalam suasana dunia sedang berhadapan dengan perubahan iklim yang tidak menentu, bekalan makanan berkurangan, pengurusan pendidikan dan kesihatan rakyat terancam, Malaysia masih ‘segar’ dengan segala input dan bantuan.
Usaha meningkatkan taraf sosial dan ekonomi rakyat dan negara rancak dilaksanakan. Ke sana ke mari pucuk pimpinan negara berusaha mencari sumber demi kesejahteraan negara, selain untuk meletakkan Malaysia sebuah negara yang boleh menyumbang untuk kesejahteraan sejagat, keadilan antarabangsa.
Tidak wajarkah langkah demikian diberi sokongan? Ada baiknya hal ehwal dalaman Malaysia berada dalam penyatuan yang kukuh serta stabil berpadu bagi memudahkan misi menarik kerjasama dalam kalangan negara-negara dunia.
Buangkan resah dan kesangsian rakyat. Boleh dikatakan peluang menerajui pemerintahan negera telah merentasi banyak pihak dan jenama parti politik. Rakyat Malaysia telah menyaksikan dan mengalami semua ini. Dan, mereka dapat mengukur siapa yang benar-benar berkesan dan siapa yang sekadar handal berkokok di luar gelanggang. Jangan ‘remehkan’ (underestimate) penilaian rakyat.
Mengenai hal hukum-hakam agama juga sudah ramai umat Islam negara ini cuba hayati. Mereka membaca dan bertadabbur al-Quran. Banyak pula sumber-sumber pengetahuan agama disebarkan oleh ustaz-ustaz bertauliah melalui media sosial. Tidak kurang ceramah-ceramah agama di radio dan televisyen. Jadi, ‘orang politik’ tidak perlu lagi berkecenderungan mengeksploitasikan agama secara tidak tepat untuk kepentingan politik.
Peliknya, kalau semua pihak merujuk kepada anjuran Islam yang syumul, lengkap, indah dan sempurna, tentu tergerak hati terpanggil minat untuk mencantum ukhuwah dan menjanji perpaduan sesama ummah. Tetapi kenyataannya, tidak ternampak minat dan usaha yang menjurus ke arah demikian. Timbul juga persoalan, yang tidak mahu bersatu padu itu adakah kalangan pemimpin atau rakyat?. Sama-samalah mencari jawapan tepat dan jujur terhadap persoalan ini.
UMNOF
UMNO yang sudah mencecah usia 78 tahun dan merupakan antara pendukung utama Kerajaan Perpaduan yang ada ketika ini. Sumbangan perkhidmatan barisan kepimpinan UMNO dalam kerajaan tidak dinafikan. Pada masa yang sama, sukar dinafikan hakikat bahawa UMNO tetap menjadi cagaran utama, khususnya dalam kalangan orang Melayu sebagai parti yang dapat memayungi dan mempertahan kedaulatan Islam, raja dan bangsa Melayu (3R).
Tidak kurang, terdapat pihak-pihak yang menegur sinis atau melempar ‘provokasi’ kepada UMNO sejauh mana parti itu masih berupaya atau terus relevan memelihara 3R sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?
Ini memandangkan ada rakan-rakan yang ‘tidur setilam’ (kalau pun tidak sebantal) kerap membangkitkan hal-hal yang kurang disenangi, yang dianggap percubaan menuntut sesuatu yang di luar batasan.
Ternyatanya, ada kala UMNO menjadi ‘kekok’ dan terpaksa menyerlahkan bantahan tegas dan terbuka terhadap rakan segabungan apabila bertembung dengan isu-isu berkaitan agama, budaya, bahasa, kedaulatan raja-raja Melayu dan hak-hak keistimewaan Melayu.
Justeru, bagi menjaga harmoni dan mewujud kestabilan, jangan ada lagi pihak-pihak yang cuba menampakkan sikap ‘kurang sabar’ kononnya untuk menjuarai perjuangan kaum tertentu sehingga boleh mengganggu emosi orang Melayu. Tidak perlu meminta berlebihan, mengejar berkejauhan.
Selama ini pun seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang budaya, kaum dan agama dapat menikmati kehidupan makmur damai melalui pendekatan konsensus, sederhana, inklusif dan adil untuk semua.
Malaysia yang sememangnya unik dan tersendiri perlu dinilai pada sudut keistimewaan bukan kekurangan. Cukuplah dengan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan berpandukan prinsip-prinsip Rukun Negara. Dua sumber ini terbukti menjadikan Malaysia kekal makmur aman sejahtera.
Malaysia terus gagah dan stabil. Tidak perlu timbul persepsi negatif seolah-olah negara ini sedang melalui detik-detik perjalanan politik yang terlalu ‘terdesak’ dan menagih sokongan keterlaluan untuk membina gabungan kekuatan. Ya benar, politik Malaysia masih dianggap stabil dan ‘bermoral’. Maksudnya tidak sampai kepada suatu keadaan yang boleh ‘diugut’ atau ditekan.
Lalu, tidak perlu diperlihatkan mana-mana negeri atau wilayah yang seolah-olah begitu cenderung mengejar ‘keistimewaan tersendiri’.
Harus diingat, semua negeri sudah terhimpun dalam sebuah negara bernama Malaysia. Kita adalah sejiwa senegara, susah senang sama dirasa.-UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










