NILAI: Pelumba muda, Muhammad Ridwan Sharom memiliki masa depan cerah dalam sukan lumba berbasikal trek dan diperakui jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang yang menyifatkan dia memiliki ciri-ciri untuk menyerlah di peringkat dunia.
Azizulhasni berkata, Ridwan memiliki banyak potensi selepas kemampuan pelumba Johor itu mencatat rekod peribadi di bawah 10 saat dalam ujian masa Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional di sini, semalam.
“Dia masih memerlukan masa untuk mencapai kematangan fizikal dan mental, tetapi potensi untuk berjaya di peringkat antarabangsa sudah ada,”katanya.
Menurut Azizulhasni, Ridwan menunjukkan peningkatan ketara melalui usaha gigihnya apabila mencatatkan masa 9.9 saat dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa kategori elit lelaki.
“Dia bekerja keras untuk mencapai tahap ini dan pencapaian ini sangat membanggakan, Ridwan juga menunjukkan kemajuan dari segi taktikal semasa perlumbaan, mengalahkan beberapa pesaing hebat termasuk Shah Firdaus Sharom.
Beliau berkata, Ridwan mempunyai kelebihan fizikal yang ketara dengan saiz dan kekuatan otot yang lebih tinggi serta akan terus meningkat dan dapat membawa cabaran Malaysia ke pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, Azizulhasni juga memuji pelumba wanita muda negara , Nurul Izzah izzati Mohd. Asri, yang menunjukkan peningkatan membanggakan serta percaya pelumba kelahiran Kedah itu mampu mencipta kejutan di Olimpik Paris.
“Dia adalah atlet muda yang berpotensi besar dan mampu membuat kejutan dengan kelayakannya ke Olimpik,” katanya.
Izzah, yang berjaya merangkul pingat emas dalam acara 500 meter kategori elit wanita berada dalam persiapan terbaik untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris pada Julai ini.
Menurut Azizul, pada usia muda, Izzah memenuhi syarat kelayakan melalui merit tanpa sebarang tiket wildcard serta percaya pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan masa depan cerah untuk Izzah, tetapi juga memberi inspirasi kepada atlet muda lain.
“Dengan semangat dan etika kerja yang tinggi, saya yakin Izzah mampu pergi jauh dalam kariernya,” tambahnya.
Sebelum ini, Nurul Izzah Izzati dan Muhammad Ridwan Sharom masing-masing berjaya merangkul pingat emas dalam acara masing-masing pada kejohanan itu. – UTUSAN











