PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ismail (SSI) akan tetap berlangsung pada Jumaat ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam berkata, aksi berkenaan tidak akan ditunda biarpun berlaku insiden menyedihkan menimpa pemain utama Selangor FC, Faisal Halim yang disimbah asid pada Ahad lalu.
Dalam masa yang sama, Stuart yang turut sedih dengan kejadian menimpa Faisal memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang permintaan daripada pasukan Selangor FC agar perlawanan berkenaan ditunda ke tarikh lain.
“Perlawanan masih berjalan seperti yang dijadualkan dan aksi Piala Sumbangsih akan tetap berlangsung pada Jumaat ini. MFL juga tidak menerima sebarang permintaan daripada Selangor FC untuk tukar ke tarikh lain.
“Kami tingkatkan tahap keselamatan tetapi insiden yang berlaku ini berlaku di luar kawalan MFL dan kami percaya keselamatan para penyokong juga akan terjamin semasa perlawanan Piala Sumbangsih nanti,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Ketika menjawab pertanyaan sama ada kejadian menimpa Faisal mempunyai kaitan dengan unsur ‘bookie’, Stuart berpendapat, kejadian berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan unsur berkenaan dalam Liga Malaysia (Liga M).
“Ada beberapa (spekulasi) yang saya tak mahu katakan. Tetapi unsur bookie saya rasa tidak ada kaitan secara langsung dalam liga kita. Kita kena hormati pemain berusaha jaga integriti. Jadi, jangan buat spekulasi tanpa bukti,” katanya.
Mengulas mengenai imej Liga M selepas kejadian yang menimpa Faisal turut dilaporkan di media antarabangsa, Stuart berkata, insiden berkenaan menarik perhatian banyak pihak kerana ia melibatkan pemain kebangsaan.
“Saya fikir ini insiden (jenayah) sosial. Perkara ini berlaku kepada dua pemain kebangsaan kita. Apa yang kita tahu (liputan media luar negara) sebab mereka pemain kebangsaan dan insiden ini tak pernah berlaku.
“Insiden ini tidak mencemarkan imej, itu satu situasi yang kita perlu tangani. Saya tak mahu kata ia mencemarkan imej, saya kata kita perlu tangani isu ini dengan sebaiknya,” kata Stuart. – UTUSAN










