840 graduan kecerdasan buatan dalam tempoh enam tahun

840 graduan kecerdasan buatan dalam tempoh enam tahun

AHMAD FAUZI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DALAM tempoh lima bulan akan datang, seramai 120 pelajar akan memulakan pengajian di fakulti pertama Kecerdasan Buatan (AI) negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama tiga tahun.

Persoalannya, adakah institut pengajian tinggi (IPT) negara sudah bersedia untuk menghasilkan ribuan pakar AI dalam beberapa tahun akan datang?

Ikuti wawancara NAIB CANSELOR UTM, PROFESOR DATUK DR. AHMAD FAUZI ISMAIL bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN baru-baru ini.

 

UTUSAN: UTM bakal membuka Fakulti AI pada Oktober ini. Bagaimana persediaan dari segi modul, subjek dan tenaga pengajar?
AHMAD FAUZI: Persediaan sedang giat dijalankan bukan sahaja bagi kursus yang akan ditawarkan semester pertama, malahan kesemua kursus yang akan ditawarkan sepanjang tiga tahun program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian. Program ini merangkumi 20 kursus teras, 10 kursus elektif, projek sarjana muda, latihan industri dan kursus umum universiti.

Kursus-kursus ini bukanlah sesuatu yang terlalu baharu bagi pensyarah di UTM kerana sebelum Fakulti AI, mereka terlibat dalam penyelidikan dan pengajaran kursus-kursus berkaitan AI, matematik, pengaturcaraan, kejuruteraan dan aplikasi AI dalam pelbagai bidang.

Pembelajaran dan pengajaran biasanya akan mengikut panduan yang telah digariskan dalam Kursus Maklumat (CI) dan penyelarasan akan dilakukan secara slaid pengajaran, soalan ujian dan peperiksaan akhir. Modul pengajaran juga sedang dibangunkan bagi tujuan penyelarasan.

Tenaga pengajar bagi semua kursus tersebut telah dikenal pasti bersesuaian dengan kepakaran masing-masing. Semua pensyarah di fakulti ini akan berpeluang dan sedang mengikuti program-program peningkatan kemahiran dan latihan semula berkaitan AI bagi memantapkan pengetahuan yang lebih mendalam.

Persediaan bagi prasarana juga giat dijalankan termasuk pengubahsuaian ruang pengajaran dan pembelajaran sementara makmal akan dilengkapi peralatan perkakasan dan perisian terkini. Perundingan bersama industri bagi melengkapi tujuan ini turut dilaksanakan. 10 makmal berkaitan AI dengan kapasiti 30 hingga 40 pelajar juga sedang dibangunkan.

Keperluan fakulti AI di peringkat pendidikan tinggi?
Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan (AI) Malaysia 2021-2025 menyatakan pendidikan AI yang komprehensif dan inklusif perlu ditawarkan bagi menghasilkan keperluan AI negara.

AI merupakan teknologi pengganggu (disruptive technology) yang bukan sahaja universal tetapi juga merupakan pembawa pengubah permainan (game changer). Visi AI dibangunkan di Malaysia bertujuan untuk memanfaatkan teknologi ini dalam meningkatkan peluang pekerjaan, memacu daya saing negara, menggalakkan inovasi dan keusahawanan demi mencapai kemakmuran ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan sosial dan rakyat Malaysia.

Peluang pekerjaan dan memperoleh ijazah?
Antara peluang pekerjaan termasuklah jurutera AI, saintis penyelidik AI, pakar etika dan polisi AI, pakar kreatif AI, penganalisis risikan perniagaan, jurutera pembelajaran mesin (machine learning), jurutera visi komputer, jurutera robotik, jurutera pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) dan saintis data.

Berapa banyak pakar AI yang kita perlu dan mampu hasilkan?
Mengikut pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan (AI) Malaysia 2021-2025, negara memerlukan seramai 200,000 bakat AI (pelbagai tahap pendidikan) di masa hadapan bagi memenuhi keperluan industri negara.

UTM melalui Fakulti AI bakal melahirkan 120 graduan Ijazah AI pada 2027, 180 graduan pada 2028, 240 graduan pada 2029 dan 300 graduan pada 2030 iaitu berjumlah 840 graduan dalam masa enam tahun.

Justeru, usaha melahirkan graduan berkepakaran AI tidak hanya bertumpu di UTM malah perlu diusahakan oleh kesemua universiti awam dan swasta. Usaha ini boleh dicapai melalui inisiatif Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC).

Selain daripada program sarjana muda, program di peringkat sarjana, kedoktoran, sijil profesional serta kursus-kursus pendek dalam bidang AI juga sedang dan bakal dibangunkan.

Manfaat yang bakal diraih hasil kewujudan fakulti pakar AI di masa akan datang?

Laporan Ekonomi Digital Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2019 menganggarkan bahawa AI boleh menjana tambahan sebanyak USD13 trilion (RM61 trilion) dalam keluaran ekonomi global menjelang 2030 dan menekankan teknologi yang kuat ini mungkin mengakibatkan perubahan besar dalam pasaran tenaga kerja. Laporan McKinsey pada Ogos 2023 juga mendapati bahawa pengunaan AI generatif secara ketara dapat meningkatkan produktiviti tenaga kerja di seluruh bidang ekonomi.

Merujuk kepada MyDIGITAL Corporation, satu laporan oleh Pusat Industri Revolusi 4.0 berkenaan kesan AI ke atas ekonomi Malaysia yang menunjukkan bidang ini mampu menjana produktiviti hasil yang maksimum bagi ekonomi Malaysia sebanyak RM535.8 bilion (USD113.4 bilion) atau bersamaan dengan 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2022.

Bidang pembuatan dijangkakan menjadi penyumbang utama dan tenaga kerja bagi bidang ini melibatkan bilangan warga tempatan yang besar. Oleh itu, adalah menjadi keutamaan untuk negara menyediakan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang diperlukan terutamanya dalam konteks AI untuk menghadapi perkembangan pesat teknologi AI yang telah mengubah cara syarikat dan organisasi beroperasi.

Bagaimana ancaman penyalahgunaan AI?
Menangani ancaman dalam penyalahgunaan AI memerlukan beberapa strategi utama garis panduan etika iaitu membangun dan mematuhi prinsip etika serta menubuhkan lembaga etika bagi menyemak projek berkaitan AI.

Peraturan dan pematuhan penting bagi melaksanakan dan mematuhi rangka-kerja undang-undang yang memastikan pembangunan dan penyebaran AI yang selamat serta langkah keselamatan teknikal yang mereka-bentuk sistem AI yang dapat dijelaskan, kukuh, selamat dan diuji dengan teliti.

Kita juga perlukan kerjasama bagi mewujudkan standard industri, berkongsi penyelidikan dan menerima pakai amalan terbaik secara bersama. Kita juga perlukan penglibatan awam dengan mengekalkan ketelusan dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam perbincangan mengenai AI. Ini termasuk kerjasama antarabangsa dengan menggalakkan perjanjian global dan berkongsi sumber untuk menyeragamkan tadbir urus AI.

Dari segi pendidikan, kita mendidik orang ramai dan melatih profesional mengenai amalan AI yang beretika. Dalam dasar ekonomi pula, kita membangunkan program peralihan pekerjaan dan dasar untuk memastikan pengagihan manfaat AI yang adil dan mengurangkan ketidaksamaan ekonomi.

Dengan mengintegrasikan strategi-strategi ini, masyarakat dapat menguruskan ancaman AI dengan berkesan di samping memaksimumkan manfaatnya.

Sasaran Fakulti AI?
Harap dapat menyumbang kepada pembangunan AI yang boleh memperhebat kemakmuran ekonomi, meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta serta menjadikan negara lebih kompetitif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×