BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan KL20. Tahniah diucapkan kepada Kementerian Ekonomi yang menjalankan tugas dengan baik dalam membangunkan usaha ini.
Tahniah juga kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Digital atas usaha melaksanakan kerangka pelan kerja pembangunan industri bernilai tinggi ini.
Secara ringkasnya, KL 20 merupakan pelan tindakan pembangunan industri digital dan teknologi negara. Pelan ini merupakan pelan kedua selepas Pelan Peralihan Tenaga (NETR) yang dibangunkan oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Ekonomi.
Industri digital dan teknologi memang sangat berkait rapat dengan apa yang disebut sebagai syarikat pemula dan modal teroka. Syarikat-syarikat pemula dalam bidang ini sering kali memfokuskan usaha mereka untuk mencipta inovasi baharu, merintis jalan dalam teknologi yang mungkin belum pernah ada sebelumnya atau membawa pendekatan baharu dalam menyelesaikan masalah yang kompleks.
Ketika syarikat pemula muncul dengan penemuan-penemuan baharu dan model perniagaan yang disrupif, mereka biasanya memerlukan modal teroka atau pelaburan yang besar untuk membangunkan dan melancarkan produk atau perkhidmatan mereka ke pasaran. Modal teroka ini membantu mereka dalam pengembangan, pengujian, pemasaran dan skalabiliti produk atau perkhidmatan mereka.
Kejayaan syarikat pemula dalam industri digital dan teknologi sering kali menjadi contoh inspirasi bagi banyak pihak, terutama dalam konteks keusahawanan dan inovasi. Mereka membuktikan bahawa idea-idea baru, ketangkasan dalam pelaksanaan, dan fokus yang tepat boleh mengubah landskap industri dan membawa impak yang besar kepada masyarakat.
Sedar ataupun tidak banyak gergasi teknologi global yang kita kenali hari ini bermula sebagai syarikat pemula. Ini menunjukkan bahawa walaupun mereka telah mencapai tahap kejayaan yang tinggi, namun mereka pernah berada dalam posisi yang sama seperti syarikat-syarikat pemula yang berusaha untuk memasuki pasaran.
Justeru, KL20 merupakan satu inisiatif yang sangat bermakna bagi perkembangan ekosistem syarikat pemula di Malaysia. Dengan tumpuan utama bagi menjadikan Malaysia sebagai satu daripada hub Syarikat pemula terbaik di dunia menjelang 2030, inisiatif ini menawarkan pelbagai langkah dan pendekatan strategik yang penting.
UNIVERSITI
Dalam mencapai matlamat ini adalah penting peranan dimainkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) negara. Apa yang boleh dilakukan oleh universiti awam dan swasta dalam negara bagi mendepani cabaran seperti yang digariskan dalam KL20?
Pada hemat saya, universiti memainkan peranan yang penting dalam menyokong inisiatif KL20. Bukan itu sahaja, universiti tempatan juga boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan ekosistem syarikat pemula secara keseluruhannya.
Beberapa langkah boleh dilakukan. Pertama, universiti merupakan pusat pembinaan ilmu dan pembinaan karakter peneraju syarikat pemula.
Universiti boleh menyediakan program pendidikan dan latihan keusahawanan yang berkualiti tinggi. Hal ini termasuklah penawaran kursus-kursus keusahawanan, pendedahan kepada proses mencipta dan mengurus perniagaan dan pembangunan kemahiran yang diperlukan untuk memulakan dan mengendalikan syarikat pemula.
Kedua, universiti merupakan pusat penyelidikan dan inovasi yang penting. Semua universiti mempunyai pusat penyelidikan dan inovasi berkelas dunia. Selain pusat ini, universiti juga telah mewujudkan pusat kecemerlangan penyelidikan dalam bidang-bidang baharu seperti pembaharuan tenaga, kecerdasan buatan dan sebagainya yang mempunyai fasiliti lengkap dan terkini.
Pusat-pusat ini boleh menyokong pembangunan teknologi baharu, aplikasi komersial dan penemuan-penemuan yang boleh memberi dorongan kepada perkembangan syarikat pemula. Perkara ini juga dapat mencipta peluang bagi kolaborasi antara penyelidik, pelajar dan usahawan.
Ketiga, universiti merupakan tempat pembangunan insan yang menjadi aset terpenting negara. Universiti berperanan dalam pembangunan modal insan yang berkualiti dan boleh membantu negara dalam melahirkan bakat-bakat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat, kecerdasan buatan, sains komputer dan sebagainya. Bidang-bidang ini adalah bidang yang mendapat permintaan tinggi yang diperlukan oleh syarikat untuk berkembang.
Keempat, universiti berperanan sebagai pembangun hub keusahawanan negara. Dalam hal ini, universiti perlu membangunkan hub keusahawanan atau inkubator perniagaan yang mana usahawan boleh mendapatkan sokongan dalam bentuk mentorship, ruang pejabat, akses kepada sumber kewangan, dan rangkaian perniagaan. Keadaan ini mampu mencipta suasana dan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan syarikat pemula.
Akhir sekali, universiti berperanan dalam mewujudkan dan mengukuhkan kerjasama antara industri dan akademik. Universiti adalah tempat yang kondusif dalam menjana kerjasama erat dengan industri.
Kerjasama ini boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti program industri-siswa, penempatan industri, dan projek kolaboratif. Hal ini membolehkan pelajar dan penyelidik untuk mendapatkan pengalaman praktikal, menyesuaikan pengetahuan mereka dengan keperluan pasaran, dan menghasilkan inovasi yang relevan.
Secara keseluruhannya, universiti mempunyai peranan yang penting dalam menyokong inisiatif KL20 dengan menyediakan sumber daya, kepakaran, dan sokongan yang diperlukan bagi pertumbuhan ekosistem syarikat pemula di Malaysia.
Kolaborasi rapat antara universiti, industri dan kerajaan merupakan kunci kejayaan dalam menggalakkan keusahawanan dan inovasi di negara ini seterusnya memastikan KL20 berjaya mencapai sasarannya.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Ram Al Jaffri Saad ialah Penolong Naib Canselor Kolej Perniagaan dan Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Universiti Utara Malaysia (UUM)










