Tiga kali cuba belum mampu julang gelaran juara Asia

Tiga kali cuba belum mampu julang gelaran juara Asia

GOH Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke suku akhir Terbuka Jepun 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga kali mencuba menerusi tiga beregu lelaki berbeza dan kali ini, melalui Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, namun gelaran Asia yang dinanti-nantikan selama 17 tahun masih belum mampu dijelmakan.

Semalam, Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-19 dunia gagal mencipta kejutan di pentas akhir apabila mereka kecundang di tangan beregu No. 3 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 pada perlawanan akhir Kejohanan Bad­minton Asia, di Ningbo, Chi­na.

Sze Fei-Izzuddin melengkapkan hatrik beregu Malaysia selaku naib juara, selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berbuat demikian bagi edisi 2022 (Manila, Filipina) serta 2023 (Dubai, Emiriah Arab Bersatu).

Untuk edisi tahun ini, pasa­ngan No. 5 dunia, Aaron-Woi Yik berkongsi pingat gangsa bersama-sama beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.

Kali terakhir Malaysia me­rangkul gelaran Asia ialah menerusi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2006 dan 2007 di Johor Bahru.

Sekalipun, tewas dalam perlawanan akhir, pencapaian yang dilakar Sze Fei-Izzuddin itu wajar diberi pujian memandang­kan status mereka sebagai beregu underdog.

Kedua-duanya tidak diletakkan harapan untuk mara sejauh ini, lebih-lebih lagi pencabar yang terpaksa mereka tentang seawal peringkat 32 terbaik me­rupakan juara dunia iaitu Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.

Namun, Sze Fei-Izzuddin mencipta kejutan dengan me­nunjukkan jalan keluar kepada beregu No. 2 dunia itu dan ren­tak konsisten mereka diteruskan sehingga berjaya mara ke perlawanan akhir selepas mengetepikan rakan senegara, Aaron-Wooi Yik pada separuh akhir.

Pencapaian yang dicatat Sze Fei-Izzuddin pada Kejohanan Asia itu sekurang-kurangnya memberi khabar gembira kepada persiapan skuad kebangsaan menjelang Piala Thomas/Uber di Chengdu, China, hujung bulan ini.

Walaupun mereka gagal meraih tiket ke Olimpik memandangkan hanya beregu yang berada dalam kelompok lapan terbaik dunia bakal layak secara automatik ke Paris, Julai, ini tetapi masih banyak lagi kejohanan besar menanti Sze Fei-Izzuddin selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN