SPRM siasat projek pusat latihan FAM

SPRM siasat projek pusat latihan FAM

AZAM Baki memotong reben ketika merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Bangunan Wisma Persekutuan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya tertumpu kepada projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya.

Ketua Pesuruhja­yanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak akan masuk campur me­ngenai isu pentadbiran badan induk bola sepak negara itu.

Katanya, siasatan kes tersebut dianggap membabitkan kepentingan awam.

“Kita melihat pada maklumat yang diberikan, jadi kita tumpukan kepada satu isu sajalah yang mana melibatkan isu pembinaan projek NTC.

“Untuk makluman semua, ini adalah sebenarnya pemberian wang (funding) datang sebanyak RM25 juta daripada pihak FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), bukan duit FAM.

“Jadi FAM cuma men­jalankan perolehan melalui tender dan sebagainya dan sudah dikemukakan kembali kepada FIFA untuk pemilihan yang terakhir. Pihak FIFA sudah bersetuju dengan syarikat yang berkaitan.

“Dua minggu lagi (selepas siasatan) kalau tidak ada kes, kita akan cakap tiada kes.

“Kalau ada kes kita akan cakap ada kes yang menunjukkan kesalahan berlaku. Kita akan membawa cadangan untuk pertuduhan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Bangunan Wisma Persekutuan di sini, semalam.

Terdahulu, tular di media sosial ‘surat layang’ yang membangkitkan dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan pengurusan FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN