Sivasangari garang ke final Klasik London

Sivasangari garang ke final Klasik London

S. Sivasangari kini menghuni ranking ke-10 dunia. - PSA World Tour
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, S. Sivasangari sekali lagi mencipta kejutan apabila menjadikan jaguh No. 4 dunia, Nele Gilis mangsanya pada aksi separuh akhir Kejohanan Klasik London, semalam.

Pemain ranking 16 dunia itu bagaimanapun dipaksa bertarung selama 1 jam 34 minit sebelum beroleh kemenangan 10-12, 11-7, 11-8, 10-12, 11-9 ke atas bintang handalan Belgium tersebut.

Kejayaan Sivasangari mara ke final pada kejohanan berstatus ‘Gold’ itu turut menyaksikan dia muncul sebagai pemain Malaysia pertama berjaya berbuat demikian selepas Datuk Nicol David melakukannya pada 2015.

Jika format tiga set memberi kelebihan kepada Sivasangari mengejutkan bintang No. 1 dunia, Nour El Sherbini dari Mesir pada suku akhir semalam (waktu Malaysia), namun, kutipan mata lima set yang kembali digunakan pada separuh akhir sama sekali tidak mengganggu rentak konsisten permainannya.

Sivasangari berkata, dia berasakan seperti berada dalam gelanggang selama lima jam.

“Memang gila, saya pernah bertemu dengan Nele sebanyak tiga kali dan kesemua perlawanan itu saya tewas.

“Sewaktu saya berada di mata akhir dan Nele gagal menyempurnakan pukulannya, saya sangat gembira,” katanya ketika ditemu bual oleh PSA World Tour selepas perlawanan berakhir.

Menurut pemain berusia 25 tahun itu, bintang Belgium tersebut seorang pejuang dan dia bertarung untuk setiap mata seperti mana yang dapat disaksikan dalam set keempat.

“Saya bercakap kepada jurulatih psikologi saya, Jesse (Engelbrecht) dan cuba melupakan kekalahan dalam set keempat secepat mungkin dan bermula semula pada set kelima.

“Saya juga cuba mempelbagaikan rentak permainan dan memaksa lawan lebih banyak bergerak, tetapi, Nele sentiasa berjaya membalas kembali pukulan saya,” ujarnya.

Sivasangari memberitahu, dia terpaksa mengharungi cabaran besar sepanjang tempoh setahun setengah selepas ditimpa kemalangan jalan raya.

“Ada masanya saya sendiri meragui kemampuan diri saya sendiri, tetapi berkat sokongan keluarga, jurulatih dan penaja, saya berjaya mengharungi cabaran ini,” jelasnya.

Perlawanan akhir yang dijangka berlangsung pukul 11 malam (waktu Malaysia), hari ini, Sivasangari bakal berdepan Hania El Hammamy dari Mesir selepas bintang No. 2 dunia itu menyingkirkan rakan senegara yang juga pilihan ketiga, Nouran Gohar 11-4, 12-10, 7-11, 11-6 dalam satu lagi separuh akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×