Qabil masih perlu ke sekolah - SIC   

Qabil masih perlu ke sekolah – SIC   

Qabil Irfan yang bernaung di bawah pasukan berpangkalan di Sepanyol, VHC Frando Racing akan memulakan musim pertamanya di ESBK sebagai pelumba Moto4 dan pusingan pertama bakal berlangsung di Litar Jerez, hujung minggu ini. - Ihsan FIM MiniGP Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba cilik Qabil Irfan Azlan masih perlu ke sekolah walaupun pelumba cilik berusia 12 tahun itu terpaksa menghabiskan kebanyakan masanya di Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur tentang masa depan Qabil yang masih bersekolah walaupun dia memiliki karier sebagai pelumba motosikal negara.

“Pendidikan itu perkara utama yang saya tekankan, persekolahan Qabil masih berjalan seperti biasa dan Zulfahmi (Khairuddin) selaku pengurus pasukan telahpun memindahkan sekolah Qabil dari Terengganu ke Selangor.

“Saya beritahu kepada Zulfhmi tak boleh tolak ansur, kena pergi ke sekolah juga belajar, tetapi sepanjang dia berada di Eropah bagi menyertai Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK), kita akan adakan tutor di bawah pemantauan ZK Racing,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama SIC di sini.

Qabil yang bernaung di bawah pasukan berpangkalan di Sepanyol, VHC Frando Racing akan memulakan musim pertamanya di ESBK sebagai pelumba Moto4 dan pusingan pertama bakal berlangsung di Litar Jerez, hujung minggu ini.

Ketika ditanya penerimaan pihak sekolah mengenai jadual padat Qabil, menurut Shafriman, pelumba itu kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Banting, Selangor dan pihak sekolah sedia maklum mengenai jadual Qabil.

“Saya difahamkan oleh ZK Racing, cikgu-cikgu sekolah Qabil memang tahu karier dia dalam bidang sukan pemotoran, jadi, ada sedikit kelonggaran diberi, tetapi peperiksaan mesti hadir,” ujarnya.

Tentang persiapan Qabil menjelang ESBK, hujung minggu ini, beliau berharap, di bawah jagaan Zulfahmi, Qabil akan terus berkembang menjadi pelumba yang bagus dan sasarannya untuk musim pertama ialah berada dalam kelompok 15 terbaik.

Shafriman memberitahu, Qabil akan menyertai Kejohanan Dunia MiniGP, hujung tahun ini, di Valencia, Sepanyol untuk kategori 190cc selepas mendapat tiket automatik selaku juara dunia 160cc.

Sementara itu, Qabil menerusi kiriman video dari Jerez berkata, dia kini sedang giat berlatih menjelang perlumbaan, hujung minggu ini.

“Walaupun sekarang bulan Ramadan, saya tetap berlatih untuk persiapan di Jerez dan harapan saya untuk perlumbaan pusingan pertama ini ialah dapat bersaing dalam kelompok hadapan,” katanya.

Jelas Qabil, memiliki rakan sepasukan yang sangat laju, turut membantunya untuk beraksi lebih baik dan dia sukakan suasana yang berlaku di dalam pasukannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×