FAM struktur semula perlawanan bawah umur

FAM struktur semula perlawanan bawah umur

FAM merasakan bakat muda memerlukan lebih banyak perlawanan kompetitif bagi mematangkan pemain tempatan, sekali gus memastikan mereka benar-benar bersedia untuk bersaing di pentas antarabangsa. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan melakukan penstrukturan semula pertandingan di peringkat bawah umur di negara ini bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang bakal bawa nama negara di pentas antarabangsa.

Ketika ini, badan induk bola sepak negara itu merasakan bakat muda memerlukan lebih banyak perlawanan kompetitif bagi mematangkan pemain tempatan, sekali gus memastikan mereka benar-benar bersedia untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell berkata, berdasarkan statistik perlawanan yang dilalui pemain muda musim lalu, ia jelas masih lagi rendah berbanding pemain muda di pentas Eropah.

“Untuk Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023 (pertandingan B-23 kebangsaan), jumlah perlawanan minimum ialah 12 perlawanan dan maksimum 20 perlawanan bagi pasukan yang layak ke final.

“Jika seseorang pemain muda itu bermain dengan pasukan yang berada di kedudukan terbawah, dia hanya akan bermain 12 perlawanan kompetitif secara maksimum di sepanjang musim lalu.

“Piala Presiden 2023 (pertandingan B-20 kebangsaan) pula minimum 13 perlawanan dan maksimum 16 perlawanan, Piala Belia 2023 (pertandingan B-18 kebangsaan) minimum 11 perlawanan dan maksimum 14 perlawanan.

“Manakala Liga SupaRimau (pertandingan peringkat akar umbi) dengan minimum 24 perlawanan di sepanjang tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, format pertandingan tersebut telah ditambah baik oleh MFL dan FAM bagi saingan musim 2024.

Dalam pada itu, menerusi laporan media tempatan pada 2022, tinjauan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendapati pemain bola sepak di Malaysia kekurangan perlawanan kompetitif di peringkat domestik.

Manakala menurut Persatuan Kelab-Kelab Eropah (ECA), purata jumlah perlawanan yang perlu dimainkan setiap pasukan remaja kelab di Eropah adalah dalam lingkungan 35 hingga 50 perlawanan setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN