PETALING JAYA: Muhammad Azeem Fahmi mempunyai sekurang-kurangnya baki empat peluang menerusi kejohanan olahraga di Amerika Syarikat (AS) dalam merealisasikan misi mencatat masa bawah 10 saat (s) untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelari pecut yang juga pemegang rekod kebangsaan itu akan beraksi hujung minggu ini dalam acara kegemarannya 100 meter (m) pada kejohanan di LSY Invitational di Los Angeles.
Pengarah kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, badan induk itu terus membantu dan memantau pencapaian Azeem dengan menyatakan peluangnya ke Paris layak berdasarkan catatan masa atau ranking kedudukan sebelum tarikh tutup pada hujung Jun ini.
“Azeem akan mengharungi beberapa siri kejohanan di AS dan berharap akan tampil akis terbaik menjelang Terbuka Malaysia, Jun ini.
“10.31s yang dicatat baru-baru ini di kejohanan AS memberi satu peluang kepadanya selepas peningkatannya ketika catatan 10.44s sebelum ini.
“Kami berharap apabila Azeem menamatkan kejohanan terakhir di AS membolehkan beliau menyertai Terbuka Malaysia. Saya lihat Azeem mampu capai catatan bawah 10s itu,” kata Ballard.
Terdahulu, Azeem mencatat rekod peribadi terbaik pada tahun ini menerusi 10.31s pada acara 100m sekali gus menduduki tempat ketiga dalam saringan satu Kejohanan Tiger Trek Klasik di Alabama, AS.
Azeem bakal berdepan dengan jadual padat menerusi Kejohanan SEC di Florida (9-11 Mei), Kejohanan NCAA Preliminaries, Lexington (22-25 Mei) dan Kejohanan NCAA, Orlando (5-8 Jun) sebelum kembali ke tanah air untuk menyertai Terbuka Malaysia pada 14 hingga 16 Jun ini.
Untuk rekod, Azeem menamat penantian 41 tahun kem olahraga negara dalam acara 100m di pentas Sukan Asia sejak Datuk Rabuan Pit menjuarai pada edisi 1982 apabila memungut pingat gangsa di Hangzhou tahun lalu dengan catatan 10.11s. – UTUSAN










