PETALING JAYA: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mengesahkan slot secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai pada Julai ini.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, Aniq mengesahkan slot itu selepas berada di kedudukan kelapan keseluruhan selepas berakhirnya Kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand.
Ayub berkata, Aniq yang bertanding dalam Kategori 61 kilogram (kg) berjaya mengangkat beban secara keseluruhan 290kg (125 kg snatch, 165kg clean & jerk)
“Secara keseluruhan secara ranking Olimpik, Aniq telah menduduki tempat kelapan yang mana 10 atlet secara ranking layak automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024. Senarai rasmi akan dikeluarkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa dalam masa dua minggu lagi.
“PABM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi melihat sama ada atlet boleh menjalani latihan luar negara atau pusat latihan tempatan sebelum ke temasya Paris 2024 pada Ogos ini,” katanya.
Aniq merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam kategori 61kg dengan angkatan 296kg yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.
Sementara itu, Ayub turut mengucapkan terima kasih kepada sekretariat Road to Gold (RTG) yang telah membantu PABM dalam mempersiapkan atlet bagi menghadapi kejohanan kelayakan tersebut.
“Terima kasih kepada Sekretariat RTG yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Tan Sri Norza Zakaria serta Ketua Pengarah MSN kerana telah memberikan bantuan awal untuk persiapan atlet.
“Marilah kita bersama-sama berdoa, agar Malaysia memperoleh pingat dalam sukan angkat berat di Sukan Olimpik Paris,” katanya.
Sebagai rekod, acara angkat berat bakal berlangsung di South Paris Arena, Paris, Perancis bermula 7 hingga 11 Ogos ini.
Kali terakhir angkat berat berada dalam kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu adalah di Olimpik Rio 2016 dalam kategori 69kg menerusi Mohd. Hafifi Mansor. – UTUSAN










