Aisyah teruja mahu kayuh sehabis kuat di Olimpik Paris

Aisyah teruja mahu kayuh sehabis kuat di Olimpik Paris

Aisyah Zubir antara harapan negara dalam acara basikal lebuhraya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAI mimpi menjadi kenya­taan, itu perasaan atlet berbasikal lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir apabila mula menghitung hari untuk berkayuh di Sukan Olimpik Pa­ris 2024, Julai ini.

Anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu mengakui me­minati sukan basikal lebuh raya sejak di bangku sekolah serta memasang impian berkayuh di pentas Olimpik bersama atlet antarabangsa.

“Sejak dari kecil lagi, saya selalu tengok pelumba-pelumba yang hebat di televisyen. Situa­si itu mendorong saya untuk menjadi atlet dan mahu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” kata atlet berusia 26 tahun itu.

Aisyah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai ­sebelum ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsa­an (SMK) Bukit Mentok, Kema­man, Te­reng­ganu.

Dia memulakan kariernya dalam sukan berbasikal lebuh raya selepas berjaya mewakili pa­sukan negeri kelahirannya, Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perlis.

Penyertaannya membuahkan hasil apabila merangkul pingat emas dalam acara 100 kilometer (km) lepas beramai-ramai individu sekali gus meraih pingat pertama buat dirinya.

Kejayaannya tidak terhenti di situ apabila Aisyah sekali lagi mempamerkan kayuhan cemerlang dengan menambah dua lagi pingat emas dalam acara berbasikal pada SUKMA Sarawak 2016.

Dia juga muncul juara ujian masa individu (lebuh raya) untuk meraih pingat emas pertama buat kontinjen Terengganu di temasya SUKMA Perak 2018 yang juga emas hatrik selepas merangkul pingat emas dalam tiga edisi SUKMA berturut-turut.

“Ketika itu saya perlu mempertahankan kejuaraan saya jadi saya perlu berusaha dengan lebih lagi. Segala penat lelah dan pengorbanan untuk dunia basikal ketika itu amat berbaloi,” kata Aisyah.

Nama Aisyah mula menjadi bualan peminat sukan basikal apabila mempamerkan aksi konsisten dalam setiap kejohanan yang disertai, sekali gus berjaya mewakili negara di Kejohanan Dunia.

“Apabila saya dapat tahu yang saya dipilih untuk mewakili Malaysia, saya berasa amat teruja dan bersyukur kepada ilahi kerana inilah cita-cita yang saya impikan selama ini,”ujarnya.

Pencapaian gemilang Aisyah sebagai atlet kebangsaan bermula apabila dia berjaya me­rangkul pingat perak dalam ujian individu pada Temasya Sukan SEA 2022 di Vietnam.

Katanya, menggalas tanggungjawab sebagai atlet negara amatlah besar kerana perlu memikul tugas yang berat dalam mengharumkan arena sukan negara.

“Apabila saya menyarung jersi kebangsaan, saya merasakan seperti rakyat Malaysia menaruh harapan pada saya. Jadi, saya perlu buat yang terbaik dan balas kepercayaan yang diberikan.

“Apabila nama saya dipilih untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik Paris, saya merasakan yang saya masih lagi bermimpi kerana saya seakan-akan tidak percaya yang saya layak ke Olimpik,”jelasnya.

Aisyah terpilih mewakili negara dalam acara lebuh raya Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan kedudukan mata yang lebih tinggi berbanding tiga atlet negara yang lain iaitu Phi Kun Pan, Siti Nur Adibah Akma dan Yeong Zhen Yi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×