PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon meminta penyokong tidak menaruh harapan terlalu tinggi terhadap skuad kebangsaan yang akan bertemu Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan ini.
Pan Gon berdepan kesukaran untuk memastikan tahap kecergasan pemain berada di tahap terbaik berikutan saingan Liga Malaysia (Liga M) akan memulakan saingannya pada Mei ini.
Situasi sebaliknya berlaku terhadap Oman apabila mereka tidak mempunyai masalah kecergasan pemain memandangkan saingan liga pasukan ke-80 dunia itu telah pun berlangsung sejak Januari lalu.
Dengan ketiadaan Liga M dan membuat persiapan ketika Ramadan, pastinya bukan mudah untuk Pan Gon memastikan kecergasan pemain di tahap maksimum.
Kata pengendali dari Korea Selatan itu, hanya kemenangan sahaja dapat menggembirakan penyokong bagaimanapun pada masa sama berharap penyokong faham dengan situasi yang dialami skuad kebangsaan.
“Saya boleh lihat rakyat Malaysia gembira, penuh beremosi malah ada yang menangis selepas seri dengan Korea Selatan. Itulah apa yang bola sepak boleh berikan kepada negara dan saya berbangga dengan semua pemain.
“Saya fikir pemain telah mencipta satu memori terbaik buat rakyat Malaysia. Ya, kami mahu memberikan anda satu lagi kegembiraan dan sejarah menentang pasukan ke-80 terbaik dunia. Bagaimanapun, anda semua harus faham situasi.
“Kita ketawa sama-sama dan kita bergelut sama-sama. Itulah penyokong yang sebenar namun kami tetap berharap dapat memberikan aksi terbaik untuk anda semua,” kata Pan Gon.
Harimau Malaya menentang Oman di Muscat pada 21 Mac ini sebelum sekali bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac. – UTUSAN










