PERBAHASAN kononnya murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kurang menguasai bahasa kebangsaan bukanlah topik baharu.
Kita sudah terlalu kerap mendengar hujah pihak tertentu yang hanya mencari kesalahan tanpa memberikan cadangan membina bagi mengatasi kelemahan yang diketengahkan.
Dalam hal ini, sejak 1999, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) berpengalaman mengendalikan program penghayatan bahasa dan sastera serta kempen galakan membaca melibatkan murid SJKT, SJKC dan sekolah kebangsaan (SK).
Program Kavyan turut menumpukan kepada golongan pelajar sekolah menengah, kolej, belia dan komuniti pelbagai kaum serta pelbagai latar belakang pendidikan.
Segala aktiviti Kavyan selaras matlamat yang termaktub dalam perlembagaan pertubuhan, misalnya memupuk semangat cinta akan bahasa kebangsaan serta menjalankan aktiviti berkaitan bahasa dan sastera kebangsaan.
Latar belakang ini disebut untuk menunjukkan bahawa persatuan yang diterajui sekumpulan kecil penulis kaum India ini tidak sekadar mendedahkan kelemahan dan kepincangan dalam aspek penguasaan bahasa kebangsaan di SJKT, SJKC dan komuniti.
Sebaliknya, sebagai tambahan, Kavyan melakukan analisis ke atas hasil dapatan dan merangka modul aktiviti yang sesuai dijalankan bagi menangani dan mengatasi masalah sebenar yang dihadapi kumpulan sasaran.
Kita perlu akui bahawa silibus mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah pada masa sekarang terlalu berat dan lebih mengutamakan aspek linguistik. Menyedari hakikat ini yang menjadi antara punca murid bukan Melayu di mana-mana sekolah kurang meminati bahasa kebangsaan, Kavyan berusaha menjadikan pembelajaran dan penghayatan bahasa lebih menyeronokkan.
Pendekatan didik hibur atau edutainment digunakan untuk menarik minat khalayak serta membantu mereka menghayati keseronokan sebenar yang terkandung dalam pembelajaran dan penghayatan bahasa.
Misalnya, nyanyian Rasa Sayang yang diselit pantun tradisional tidak pernah gagal menarik minat peserta pelbagai usia. Peluang membaca petikan karya di pentas juga sentiasa menarik minat peserta yang mengaku jarang diberi peluang seumpama itu dalam kelas.
Kavyan sentiasa bersikap inklusif. Kami menyedari bahawa tahap penguasaan, kepetahan dan kelancaran berbahasa setiap individu adalah berbeza. Ada banyak faktor yang menentukan perkara ini. Sekadar perbandingan, cara orang Melayu di Kedah dan seorang lagi di Kelantan bercakap adalah berbeza. Tidak wajar mengatakan seorang lebih fasih berbanding seorang lagi.
Dalam program penghayatan bahasa dianjurkan, kita perlu sentiasa memberi kebebasan kepada peserta menonjolkan bakat dan kebolehan tanpa mengambil kira apa-apa kekangan seperti sebutan dan kelancaran.
Kavyan berpengalaman mengendalikan program penghayatan bahasa dan galakan membaca di seluruh negara membabitkan khalayak dari pelbagai latar belakang. Apabila kita mendekati khalayak, kita perlu melupakan kepakaran bahasa dan ketokohan peribadi dalam bidang penulisan.
Sebaliknya, kita perlu bersedia untuk menjadi pendengar, penyokong dan pemberi motivasi kepada kelompok sasaran. Saya sentiasa berpendapat bahawa jika kita mahu terus memakai pakaian pakar bahasa atau tokoh penulis, lebih baik kita sendiri membaca di pentas dan orang lain menjadi penonton sahaja.
Akan tetapi, matlamat program Kavyan ialah memberi ruang dan peluang kepada khalayak yang mungkin sahaja tidak pernah diberi peluang seumpama itu di sekolah.
IMPAK POSITIF
Sehingga kini, dari semasa ke semasa, saya menerima mesej menerusi media sosial daripada individu yang pernah menyertai program anjuran Kavyan pada tahun 2000-an.
Rata-rata menghargai peluang diberi untuk naik ke pentas dan membaca petikan karya bahasa kebangsaan. Ada pula yang mengaku mendapat motivasi apabila hasil tulisan diberi pujian. Usaha kecil Kavyan memberi kesan positif amat besar terhadap masa depan peserta terbabit.
Kita tidak menolak hakikat program besar-besaran dengan penyertaan ratusan orang anjuran pihak berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Akan tetapi, kesan atau impak tidaklah seperti diharapkan. Biasanya program diatur sekadar memenuhi syarat dan menunjukkan kehadiran ramai peserta.
Hal ini berbeza dengan program Kavyan yang sentiasa dihadkan kepada jumlah peserta yang sedikit. Setiap individu diberi peluang terlibat dalam aktiviti dijalankan.
Sering kali ada murid dengan masalah pembelajaran. Kavyan tidak meminggirkan mereka. Sebaliknya, diberi peluang sama rata membaca teks di pentas atau menulis karangan cereka.
Dari 2016 hingga 2019, Projek Komuniti Kavyan dijalankan di Aulong Lama, Taiping, Perak iaitu tempat kelahiran saya. Peserta datang dari keluarga kurang berada dan tahap pendidikan rendah. Maka, program bahasa dan sastera diatur selaras kemampuan dan keperluan mereka.
Memandangkan kanak-kanak sukakan aktiviti lasak, maka program di SJKT dan SJKC biasanya menggunakan cerita-cerita daripada buku Nari! Nari! (2015). Peserta membaca cerita diminati dan kemudian melakonkan kisah itu dalam bentuk kumpulan.
Saya secara peribadi tidak sesekali menafikan kekurangan dan kelemahan yang wujud di sekolah vernakular. Akan tetapi, Kavyan berpendirian, tidak ada gunanya kita hanya mengungkit-ungkit segala kelemahan itu tanpa sedikit pun berusaha memberi sumbangan bagi mengatasi kekurangan.
Pada 16 Mac lalu, Temasya Bahasa diadakan di Kuil Sri Maha Mariamman, Bukit Rotan, Kuala Selangor. Program menggabungkan peserta yang sudah biasa menyertai aktiviti Kavyan dengan sekumpulan peserta baharu dari kawasan berkenaan.
Program Temasya Bahasa bertujuan memupuk minat membaca karya bahasa kebangsaan selain mencungkil bakat terpendam dalam kalangan peserta. Aktiviti dijalankan secara santai di tempat terbuka.
Bermula Mei nanti, program ini akan turut diadakan di Taiping dan sekitar Kuala Lumpur dengan mensasarkan murid SJKT dan SJKC. Ibu bapa dan guru juga digalakkan menjadi peserta supaya mereka boleh meneruskan aktiviti didik hibur ini di rumah dan sekolah.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











