UNTUK lebih enam dekad ini, perpaduan yang menjadi teras kesejahteraan rakyat Malaysia berjaya memacu toleransi melalui sikap hormat-menghormati dalam kepelbagaian pegangan, amalan agama serta budaya.
Namun, tiang perpaduan itu goyah apabila timbul isu-isu yang tidak diingini berlaku. Hal ini terjadi kerana sikap acuh tidak acuh, tidak cakna serta tidak sensitif antara satu sama lain. Seperkara lagi mungkin kerana terdapat dalam kalangan kita yang amat lemah ciri-ciri ‘diplomatik’ pada diri atau perusahaannya.
Berdasarkan penelitian Mohd. Jamil Mukmin (2011) menyatakan kerajaan Melayu seperti Funan, Campa, Langkasuka dan Kedah Tua menjalinkan hubungan diplomatik dengan beberapa kerajaan besar seperti China, Arab dan India yang sudah tentu bertujuan untuk memperkembangkan lagi aktiviti perdagangan. Salmahjan Noor Muhammad (2015) pula menjelaskan diplomatik melibatkan dua atau lebih kerajaan yang mempunyai matlamat dan keinginan bersama untuk bersatu dalam memenuhi kelompangan yang ada dalam sesebuah pemerintahan dan pentadbiran kerajaan.
Daripada takrifan ini, jelaslah diplomatik amat penting kepada semua perusahaan dan mesti dipelajari oleh semua pihak yang berada dalam bidang ini. Citra atau cerminan diplomatiklah yang akan memupuk kesefahaman dan saling cakna yang tajam bagi mengelakkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan misi perdagangan dan perniagaan antara negara, syarikat, individu apatah lagi menyentuh sensitiviti kaum tertentu di negara berbilang etnik ini. Sudah tentu asas untuk memahami, menghayati, menghormati serta mematuhi konteks diplomatik dipaksikan Rukun Negara.
Sebagai ibu kepada anak-anak yang sedang membina semangat dan kepercayaan terhadap negara, inilah tanah tempat tumpahnya darah kita sebagai warganegara. Tanpa mengira warna kulit, kita wajib saling menjaga amanah yang sama-sama kita ikrarkan hal ini.
Kami yakin sekiranya semua pihak berpegang janji kepada ikrar ini, kita kelak akan sama-sama tersenyum apabila melihat generasi yang dilentur dan dibina dengan kasih sayang akan mengharumkan nama negara tercinta tidak kira di mana sahaja mereka berada suatu hari nanti.
JIRAN
Marilah bersama kita jadikan titik permulaan untuk memperhalusi konteks ‘diplomatik’ berdasarkan lingkungan terdekat.
Ramadan inilah saatnya kita rapatkan yang dekat, benar-benar depan mata, benar-benar ada dalam hati kita. Ayuh bersama mengambil langkah ‘diplomatik’ pertama dengan lebih mengenali siapa jiran kita.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “44 buah rumah tetap sebagai jiran tetangga” (Hadis Riwayat Abu Daud). Semangat kejiranan perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa untuk meningkatkan mutu kehidupan agar dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam pembangunan masyarakat madani.
Ramadan sering membuatkan kami terfikir tentang perbuatan baik yang boleh diusahakan. Kita mahu buat yang terbaik dan berharap pihak yang menerima akan menikmatinya, bukan hanya di bulan Ramadan tetapi secara berterusan. Saling bertukar juadah antara jiran Muslim juga merupakan daya tarikan yang cukup intim bagi merapatkan kejiranan.
Bagi jiran-jiran dari pelbagai kaum lain mungkin boleh menghulurkan buah-buahan dan sebagainya bagi meraikan bulan Ramadan dan sudah tentu saat berbuka boleh diraikan bersama-sama.
Ambil kesempatan mengingatkan sesama kita tentang amalan buruk pembaziran juadah. Ini kerana trend berbuka secara bufet Ramadan yang menjadi pilihan warga kota berkemampuan perlulah dinikmati secara berpada-pada. Ingatlah orang yang dalam serba kekurangan. Ini kerana bulan mulia ini bukannya dianjurkan sebagai pesta makanan sehingga berlaku pembaziran tetapi ia adalah bulan keinsafan. Jadi, lebih baik bersederhana dalam segala perkara.

PROMOSI KEBAIKAN
Kami mendapat maklum balas daripada institusi yang ‘dilamar’ menyertai program berbuka puasa berdepan dilema moral dan sosial. Sudah tentu, mereka berterima kasih dengan individu yang baik dan bermurah hati ini, tetapi hendaklah perbincangan serta perundingan dibuat berkaitan apa yang diperlukan dan dimahukan oleh penerima bantuan. Sesungguhnya, memuliakan orang lain tidak akan pernah merugikan kita semua, malah akan memanfaatkan semua kaum.
Ramadan adalah peluang untuk mempromosikan tentang banyak kebaikan. Perpaduan yang utuh ini ibarat kaca, mudah retak dan pecah. Banyak negara mengagumi perpaduan ini dan kita perlu pertahankannya.
Keutuhan ini terkadang boleh luntur dek isu yang ditimbulkan oleh pihak yang alpa dengan nilai toleransi dalam hidup masyarakat majmuk dan miskin diplomatik serta menggunakan sentimen ini untuk kepentingan masing-masing.
MAKANAN
Makanan satukan semua rakyat Malaysia. Di setiap negeri ada menu istimewanya yang tersendiri. Pasti ada hidangan tradisional khas yang menjadi resepi turun temurun dengan keunikan dan kesedapan makanan. Juadah bubur lambuk yang sememangnya dinantikan seluruh rakyat Malaysia perlu terus dikekalkan pengagihannya sebagai tradisi tahunan.
Makanan warisan seperti dodol harus dikekalkan dengan menambah usaha memberi tunjuk ajar, pengalaman serta pengetahuan asal usul makanan tradisi termasuk cara pembuatan secara tradisional.
Ia termasuk aktiviti mengacau dodol sewaktu musim perayaan yang semakin dilupakan dan tidak lagi meriah seperti dahulu ekoran tiada kemahiran, kurang pengetahuan selain tiada generasi pelapis.
Amalan ini membibitkan kembali perpaduan antara kaum melalui gotong-royong. Berkongsi meja atau duduk semeja adalah cara yang baik untuk mencetuskan titik mula perbualan bersama orang yang tidak dikenali. Di sini juga tercanai citra diplomatik antara pelbagai kaum demi keharmonian bersama. Melalui perbualanlah kemesraan terbentuk seterusnya mengeratkan hubungan sesama warga masyarakat.
Sesungguhnya, memuliakan orang lain tidak akan pernah merugikan kita semua, malah akan memanfaatkan semua kaum.
Citra diplomatik, adat resam dan budaya turun temurun selain aktiviti kemasyarakatan serta keagamaan kepercayaan masing-masing perlu dipertahankan agar era kehidupan bersama-sama teknologi pintar memberikan impak positif kepada kita semua.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.










