PETALING JAYA: Pertahanan negara, Azam Azmi Murad bersedia bermain dalam dua kejohanan berbeza jika kudratnya diperlukan pasukan senior Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Tempatnya bersama skuad kendalian Juan Torres Garrido seakan terjamin, namun untuk bersama pasukan bimbingan Kim Pan Gon, pertahanan Terengganu itu perlu bersaing sengit bagi merebut tempat.
Sekiranya tersenarai dalam kedua-dua pasukan itu, Azam akan membantu Harimau Malaya mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 22 dan 26 Mac ini.
Disusuli, memperkuatkan skuad muda bagi kempen Piala Asia B-23 di Qatar pada bulan depan, yang turut menawarkan tiga tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024, pada Julai ini.
Jelas Azam, jika diberi peluang dia mahu membantu skuad senior terlebih dulu sebelum mencurah tenaga bersama pasukan B-23.
“Saya akan lakukan yang terbaik tidak kira di mana jua saya akan bermain. Terpulang kepada jurulatih untuk memutuskan saya ke skuad senior atau B-23.
“Tetapi sasaran saya tahun ini adalah pergi Oman untuk bantu Harimau Malaya layak ke peringkat seterusnya. Saya juga ada sasaran dalam skuad B-23 di Piala Asia nanti.
“Sekarang saya lebih memilih ke skuad senior kerana mereka bermain dahulu, kalau saya terpilih dalam skuad senior, saya pergi ke sana,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Malaysia berada di landasan tepat untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas mengutip enam mata maksimum dalam dua aksi Kumpulan D sebelum ini.
Peluang untuk layak ke Piala Asia yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada 2027 turut cerah jika Harimau Malaya mampu menamatkan saingan Kumpulan D itu sebagai dua pasukan terbaik.
Selain Malaysia dan Oman, kumpulan itu turut dibarisi Kyrgyzstan dan Taiwan. – UTUSAN










